Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan sebagai menteri sumber asli dan kelestarian alam.
Keputusan itu diumumkan sebentar tadi, kira-kira dua jam selepas Rafizi Ramli meletakkan jawatan sebagai menteri ekonomi setelah kalah dalam pemilihan PKR, Jumaat lalu.
Nik Nazmi, sekutu Rafizi, berkata dia telah menghantar surat peletakan jawatan berkuat kuasa 4 Julai kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam tempoh lebih sebulan itu, dia akan menghabiskan cuti tahunannya.
Menggariskan kejayaannya semasa menerajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi berkata dia sedar kedudukannya sebagai naib presiden PKR sebelum ini menjadi pertimbangan utama pelantikannya ke kabinet.
“Memandangkan saya tidak berjaya mempertahankan jawatan tersebut dalam pemilihan parti baru-baru ini, saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai menteri,” katanya.
Pada pemilihan PKR peringkat pusat, Jumaat lalu, Nik Nazmi gagal mempertahankan jawatan naib presiden yang disandang sejak 2022.

Terdahulu, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuatkuasa 17 Jun ini, iaitu kurang tiga minggu dari sekarang.
Menurut Rafizi, dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan akan menghabiskan cuti tahunan sehingga tarikh akhir tersebut.
Dalam kenyataan media hari ini, Nik Nazmi juga menyenaraikan beberapa kejayaannya sema berpeluang menerajuu dua kementerian. Ini termasuk pindaan kepada Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] – Fasa 1, serta peningkatan ketelusan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).
"Malaysia juga menjadi antara negara terawal yang mengemukakan National Biodiversity Strategies and Action Plan (NBSAP) bagi membendung kemusnahan alam semula jadi. Pengurangan kadar penyahutanan yang ketara juga telah mendapat pengiktirafan daripada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Antonio Guterres.

"Hanya dalam beberapa minggu selepas dilantik, kami berjaya melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik di bawah mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) di Semenanjung Malaysia.
"Kami juga berjaya meluluskan Akta Kecekapan dan Pemuliharaan Tenaga di Dewan Rakyat. Dalam sektor air, kami telah memperkenalkan Tariff Setting Mechanism yang amat diperlukan," katanya.
Nik Nazmi dilantik menganggotai jemaah menteri, pertama sebagai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Disember 2022—Disember 2023), dan seterusnya sebagai Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (Disember 2023—Julai 2025).

Nik Nazmi yang juga ahli Parlimen Setiawangsa berkata, dia akan meluangkan lebih banyak masa di kawasan parlimen.
"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para penjawat awam yang berwibawa, pasukan di pejabat saya yang cemerlang, serta semua pihak daripada sektor awam, swasta dan masyarakat sivil yang telah banyak mengajar saya dan memungkinkan pelaksanaan pelbagai reformasi penting sepanjang tempoh ini.
"Kami sentiasa berusaha untuk mengambil pendekatan yang terbuka dan berunding dengan semua pihak dalam merangka dasar dan memperkenalkan undang-undang. Saya kini menantikan peluang untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen, serta menumpukan perhatian kepada khidmat di kawasan saya di Setiawangsa.
"Mengungkapkan semula kata-kata mendiang Ahli Parlimen Britain, Tony Benn: ‘Saya meninggalkan Kabinet untuk memberikan lebih masa kepada politik dan khidmat awam’,” katanya.

