malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Permohonan Anwar tangguh bicara saman Yusoff Rawther didengar 3 Jun
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar permohonan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menangguhkan perbicaraan saman Muhammad Yusoff Rawther yang mendakwa dirinya diserang secara seksual olehnya.

Permohonan penangguhan itu sementara menunggu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berhubung lapan persoalan Perlembagaan untuk menentukan jika Anwar, sebagai perdana menteri, berhak mendapat kekebalan daripada saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantunya itu.

Peguam Yusoff, Muhammad Rafique Rashid Ali selepas pengurusan kes hari ini mengesahkan bahawa hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain menetapkan 3 Jun ini untuk mendengar permohonan tersebut.

"Memandangkan isu-isu yang dibangkitkan adalah isu terkait undang-undang, pihak-pihak diarahkan oleh mahkamah untuk membuat hujahan berkaitan permohonan tersebut dengan segera.

"Hakim telah menetapkan 3 Jun bagi pendengaran permohonan tersebut pada jam 2.30 petang. Hakim juga mengarahkan pihak-pihak menghujahkan kepada mahkamah peruntukan undang-undang yang manakah berkaitan kekebalan (immunity) yang ada pada seorang perdana menteri.

"Pihak kami akur kepada arahan mahkamah dan akan mempertahankan hak anak guam kami untuk meneruskan kes ini secara terbuka," katanya dalam satu kenyataan media.

Semalam, portal Free Malaysia Today melaporkan Anwar sedang mendapatkan pengesahan muktamad daripada Mahkamah Persekutuan sama ada peruntukan Perkara 39, 40, dan 43 Perlembagaan Persekutuan memberikan dirinya kekebalan bersyarat daripada tindakan undang-undang yang dikemukakan oleh Yusoff.

Tuntutan sivil tersebut berkaitan insiden yang didakwa berlaku sebelum Anwar mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 24 November 2022.

Anwar antara lain memfailkan permohonan agar mahkamah menentukan jika perbicaraan kes tersebut akan menjejaskan keupayaannya menjalankan tugas eksekutif dan mencabuli prinsip pengasingan kuasa antara eksekutif dan kehakiman.

Dia juga memohon Mahkamah Persekutuan untuk menilai jika langkah membenarkan saman itu diteruskan akan melanggar haknya untuk dilayan secara saksama mengikut Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, khususnya memandangkan dia mendakwa tindakan Yusoff sebagaipenyalahgunaan proses undang-undang.

Dia menegaskan saman yang difailkan Yusoff bersifat fitnah politik dan direka untuk mencemarkan reputasinya.

Anwar juga memohon agar prosiding di hadapan hakim ditangguhkan sementara Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkenaan perkara itu.

Peguamnya, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, berkata dalam afidavit sokongan permohonan dibuat bukan untuk melengahkan perbicaraan, tetapi bagi memastikan proses kehakiman berjalan adil dan menurut lunas perlembagaan.

Terdahulu hari ini, bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim berkata Anwar seharusnya berundur sementara Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.

Zaid berkata langkah tersebut adalah wajar dalam usaha menegakkan keadilan dan memastikan proses kehakiman bebas daripada sebarang tekanan politik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen