Pemuda DAP hari ini menggesa kepada kerajaan supaya menangguhkan larangan penggunaan gas petroleum cecair (LPG) domestik di kedai makan sambil memberi amaran bahawa ini akhirnya akan membebankan pengguna kerana pengusaha makanan akan menaikkan harga mereka.
Menurut, Ketua Biro Dasar Awam Pemuda DAP Jason Ng, harga gas LPG komersial adalah hampir tiga kali ganda lebih mahal daripada gas LPG domestik, dengan ramai pengusaha kecil dan penjaja masih bergantung pada gas bersubsidi sebagai sumber tenaga utama mereka.

“Jika dipaksa bertukar kepada LPG komersial, mereka (peniaga) tiada pilihan selain memindahkan kos tambahan kepada pelanggan, menyebabkan harga makanan meningkat dan akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban,” kata Ng yang juga adalah Adun Astaka dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mengambil maklum bahawa sebahagaian besar rakyat bergantung kepada premis makanan di luar rumah atas faktor pekerjaan, Ng memberi amaran bahawa pelaksanaan dasar ini secara drastik pasti akan mencetuskan kesan berantai serta tekanan inflasi yang menyeluruh.
“Dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, rakyat sudah dibebani dengan peningkatan kos sara hidup.
“Jika tindakan penguatkuasaan dilakukan secara tergesa-gesa, ia bukan sahaja mencetuskan kegusaran dalam kalangan pengusaha makanan, malah akan mencetus lagi inflasi,” katanya.
‘Perluaskan penggunaan LPG bersubsidi’
Ng seterus merujuk kepada laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara pada tahun 2021 mengenai subsidi LPG, yang katanya bahawa Kementerian Kewangan telah menyediakan draf memorandum kabinet yang mengesyorkan cadangan untuk mengenal pasti kumpulan yang layak mendapat subsidi LPG.

Kumpulan sedemikian, kata Ng, termasuk seperti pengusaha institusi pendidikan dan perubatan, pengusaha pasar malam, kedai makan, gerai jualan, dan restoran, pengusaha kafeteria atau medan selera di gedung membeli-belah, pejabat, kilang, lapangan terbang, Kawasan Rehat & Rawat (R&R) dan lain-lain lokasi.
Justeru, dia mencadangkan agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) mempertimbangkan peluasan penggunaan LPG bersubsidi kepada kategori bukan industri seperti yang dicadangkan itu supaya orang awam tidak terkesan secara langsung dengan beban kos yang lebih tinggi.
“KPDN perlu mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan pemain industri dan rakyat sebelum melaksanakan dasar ini, serta menilai kesan menyeluruh dari pelbagai sudut, supaya pelaksanaannya lebih tersusun dan adil,” kata Ng.
Pada 18 April, Menteri KPDN Armizan Ali berkata pihaknya akan melaksanakan “Ops Gasak” mulai 1 Mei bagi membendung penyalahgunaan gas memasak bersubsidi.

Armizan berkata ketirisan subsidi LPG perlu ditangani segera berikutan kesan kewangan yang besar kepada kerajaan.
Di bawah dasar itu, kedai makan perlu beralih kepada LPG komersial, yang berharga sekitar RM65 hingga RM70 untuk silinder 14kg, mewakili peningkatan lebih dua setengah kali ganda berbanding harga subsidi sebelum ini iaitu RM27 hingga RM30.

