Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar memuji Rafizi Ramli sebagai pemimpin berani dan pemikir dasar yang mengubah wacana politik negara.
"Rafizi tidak pernah gentar berhadapan dengan kuasa, dan tidak pernah takut untuk menyatakan kebenaran.
“Beliau telah memperkenalkan gagasan dan dasar yang mengubah wacana kita, khususnya tadbir urus, ketelusan, dan keadilan ekonomi. Saya menghormatinya.
"Banyak idea beliau, yang tidak akan dilupakan, malah akan diteruskan, diperhalusi dan dilaksana, bukan kerana ia datang daripada beliau atau saya, tetapi kerana ia adalah yang terbaik untuk Malaysia," katanya pada hantaran di media sosial.

Izzah memberi maklum balas selepas Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatannya daripada Jemaah Menteri, berkuat kuasa 17 Jun ini, kurang tiga minggu dari sekarang.
Menurut Rafizi, dia telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan akan menghabiskan cuti tahunan sehingga tarikh akhir tersebut.
Pengunduran itu hadir selepas kekalahan Rafizi kepada Izzah dalam pemilihan PKR baru-baru ini.
Menurut menteri ekonomi itu, ia memberi isyarat jelas dirinya tidak lagi mempunyai mandat politik untuk terus menterjemahkan agenda parti dalam pentadbiran kerajaan.

Sementara itu, Izzah berkata pemikiran pemimpin seperti Rafizi akan sentiasa menjadi kekuatan, sama ada berada dalam kerajaan atau tidak.
"Negara memerlukan idea dan langkah yang berani, dan saya percaya beliau masih mempunyai banyak sumbangan untuk diberi.
"Namun, ke mana pun arah perjalanan beliau selepas ini, saya yakin beliau akan terus membentuk masa depan negara ini dengan cara yang bermakna," jelasnya.
Izzah menjelaskan tumpuannya kini selaku timbalan presiden PKR untuk memperkukuh parti melalui latihan wajib integriti bagi semua pemimpin, sebagai usaha membendung politik wang dan memastikan tadbir urus berasaskan prinsip kukuh.
"Ini penting untuk mengelakkan usaha membudayakan politik wang dan salah laku, serta memastikan semua pimpinan memahami tanggungjawab dan memelihara integriti mereka.
"Kita seharusnya menjadi contoh kepada perubahan yang ingin kita lihat dalam diri orang lain,” katanya.

