malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Papan tanda anti-LGBT anjuran PAS cetus buli, ketakutan – NGO
ADS

Retorik anti-LGBTQ+ yang semakin lantang susulan kempen papan tanda di negeri-negeri diterajui PAS berisiko melebarkan jurang pengasingan sosial dan penapisan kendiri dalam kalangan komuniti itu, kata kumpulan hak asasi Justice for Sisters (JFS).

Pengasas bersama dan penyelidik JFS, Thilaga Sulathireh, berkata langkah tersebut – yang berselindung atas nama moral – hanya akan terus meminggirkan golongan LGBTQ+ dan menyemai rasa takut dalam wacana awam.

Thilaga Sulathireh

“Kami menjangka peningkatan tindakan bermusuhan terhadap komuniti ini,” katanya kepada Malaysiakini.

Thilaga berkata kempen papan tanda yang memperlekeh dan mengecam golongan LGBTQ+ itu berpunca daripada “panik moral” yang sering menyebarkan maklumat salah, disinformasi, serta stereotaip negatif.

Buli dan pemantauan di kampus

Antara kebimbangan utama, katanya, ialah kemungkinan pihak berkuasa institusi pendidikan akan bertindak tanpa kawalan – termasuk meminggir, mendiskriminasi dan bertindak ganas terhadap pelajar LGBTQ+.

“Di universiti khususnya, kami telah menerima laporan pelajar dibuli, dipantau oleh warden di asrama, dan dikenakan tekanan untuk mengubah orientasi seksual atau identiti jantina mereka.

“Kami jangka kes-kes seperti ini akan terus meningkat,” ujarnya.

Awal bulan ini, exco kerajaan negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata papan tanda larangan berkaitan homoseksual yang dipasang di beberapa lokasi di negeri itu, memang bertujuan untuk menimbulkan kebencian orang ramai terhadap perlakuan sedemikian.

Wan Sukairi Wan Abdullah

Papan tanda berkenaan, termasuk yang diletakkan berdekatan pintu masuk utama Universiti Malaysia Terengganu (UMT), dilabelkan sebagai sebahagian daripada usaha mendidik rakyat agar menjauhi perkara yang bertentangan dengan nilai agama dan norma masyarakat."

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Fadzli Hassan, kemudian menyambut baik langkah Terengganu dan tidak menolak kemungkinan Kelantan akan turut melaksanakannya jika terbukti “berkesan”.

Fadzli juga menyifatkan golongan LGBTQ+ sebagai antara “musuh utama” yang menyumbang kepada keruntuhan moral masyarakat.

Fadzli Hassan

‘Ucapan kebencian yang dibakar oleh papan tanda’

Thilaga turut membangkitkan bagaimana kempen papan tanda itu mencetuskan ucapan kebencian di kalangan tokoh PAS, termasuk kenyataan Naib Ketua Pemuda PAS, Muhammad Hanif Jamaluddin, yang menyuarakan kebimbangan terhadap jumlah individu transgender di Malaysia.

Hanif sebelum ini memetik satu kajian yang mendakwa terdapat kira-kira 24,000 individu transgender di negara ini, dan berkata jumlah itu berpunca daripada "kekeliruan identiti", pengaruh budaya asing, serta kelemahan dalam pendidikan agama serta pembentukan keluarga.

Menurut Thilaga, kenyataan Hanif itu tidak boleh dipisahkan daripada konteks kempen papan tanda yang semakin meluas.

“Tuduhan kononnya golongan LGBTQ+ mengamalkan ‘gaya hidup songsang’ adalah satu gambaran yang tidak tepat.

“Orientasi seksual dan identiti jantina golongan LGBTQ+, seperti mana individu heteroseksual cisgender, adalah sebahagian daripada kepelbagaian manusia,” tegasnya.

Dia menambah bahawa pandangan yang mendakwa hanya heteroseksualiti dan identiti cisgender sahaja yang sah adalah mitos yang merosakkan.

“Anggapan bahawa golongan LGBTQ+ muflis dari segi moral dan agama adalah stereotaip yang bahaya. Ia membuka ruang untuk diskriminasi berlandaskan agama tanpa sebarang pertanggungjawaban,” katanya.

Thilaga turut menekankan bahawa amalan "penukaran paksa" oleh pihak berkuasa – atas nama agama – bertentangan dengan hak asasi manusia dan bukti saintifik, tetapi masih diteruskan tanpa kawalan.

“Perkara ini mesti diperbetulkan, termasuk oleh agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen