Seorang setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim tampil mempertahankan bosnya itu daripada kritikan NGO Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme (C4 Center).
Ini susulan kenyataan C4 semalam yang mengecam Anwar susulan ucapannya pada Kongres Nasional PKR baru-baru ini, apabila dia menceritakan kisah hasratnya membalas budi penyokong setia dengan melantiknya sebagai ketua kampung.
Kamil Abdul Munim mendakwa C4 telah tersalah tafsir konteks kenyataan perdana menteri dan bertindak melulu dalam mengkritik.
“C4 gopoh, tidak cermat dalam meneliti kenyataan atau konteks ucapan PM," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut ketua Pemuda PKR yang menang tanpa bertanding itu, pelantikan politik sedemikian hanya melibatkan jawatan ketua kampung agar pemimpin akar umbi dapat terus berperanan sebagai jambatan antara kerajaan dan rakyat.
Anwar tidak menuntut ganjaran melalui jawatan penting seperti menteri besar atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat berkaitan kerajaan (GLC), jelas Kamil.
"Upah RM500 ke RM600 ratus itu adalah bagi lantikan jawatan ketua kampung. Bukan menteri, bukan CEO (GLC).
"Ini adalah hal biasa yang dilakukan. Pemimpin akar umbi yang menggerakkan jentera perlu diberi peranan dalam komuniti untuk terus menjadi jambatan kepada rakyat dan pemerintah semasa. Justeru lantikan tersebut adalah munasabah dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

"Bukan sebagai habuan kuasa, tetapi penghargaan kepada komitmen terhadap usaha membela nasib rakyat.
"Bedanya, mereka yang dilantik itu harus bebas dari sebarang rekod jenayah, salah laku dan mampu memegang amanah dengan baik,” kata Kamil.
Ucapan penggulungan Anwar semasa kongres PKR pada Sabtu lalu menceritakan kisah peribadinya mengenai penyokong setia bernama ‘Pak Kudus’ dari Tanjung Karang, Selangor.
Menurut Anwar, bekas anggota polis itu sangat menyokong perjuangannya selepas dipecat daripada kabinet Dr Mahathir Mohamad pada tahun 1998.

Pak Kudus dikatakan menggunakan wang poket sendiri untuk membantu kerja-kerja kempen Anwar, walaupun hanya bergantung kepada pencen bulanan RM1,800 ketika itu.
"Yang saya cerita pasal Pak Kudus, lepas tu kita perintah Selangor. Jadi saya fikirkan, bagilah sedikit jawatan dia, ketua kampung ke apa — adalah elaun sedikit.
"Tapi saya masih ingat dialog masa itu. Ya, kita harus beri jawatan kepada yang layak.
"Bukan menteri, bukan CEO, MB. Bagilah yang ada supaya bayaran upah dia RM500 - RM600 sebulan itu selama bertahun-tahun adalah ganjaran bila kita ada kuasa.
"Bagi saya, hal yang sedemikian harus diizinkan dan tidak ada penyalahgunaan kuasa,” kata Anwar dalam ucapannya.
Sebagai reaksi, C4 Center semalam (Selasa) menyifatkan kenyataan Anwar itu sebagai “petanda menggerunkan” yang menunjukkan sikap tidak peduli terhadap usaha membanteras rasuah dan kronisme.
C4 turut memberi amaran kepada kerajaan agar tidak mengeksploitasi GLC untuk kepentingan politik atau kewangan, sambil mengingatkan misi utama syarikat-syarikat itu untuk menjana pertumbuhan sosio-ekonomi negara.
[Baca berita asal]

