malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Saman ‘Kopi' akan ditentukan pada 13 Ogos
ADS

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini menolak permohonan Majlis Daerah Besut dan kerajaan negeri untuk membatalkan saman oleh aktivis hak asasi haiwan berhubung kes menembak mati seekor anjing liar bernama 'Kopi', Oktober lalu.

Peguam hak asasi haiwan Rajesh Nagarajan memberitahu Malaysiakini bahawa perkara itu akan diputuskan pada 13 Ogos selepas mahkamah mendengar kes berkenaan berdasarkan meritnya.

Rajesh Nagarajan

“Kami gembira Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu telah memutuskan untuk menolak permohonan defendan.

"Ini adalah kemenangan besar untuk pecinta haiwan di Malaysia secara amnya dan langkah pertama yang positif untuk mendapatkan keadilan bagi Kopi yang dibunuh dengan kejam," katanya.

Pada 10 Dis, aktivis hak asasi haiwan Kartini Farah Abd Rahim, S Mukunnan, Hong Hai San, dan S Shashi Kumar memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Plaintif memohon pengisytiharan mahkamah sivil bahawa pembunuhan Kopi melanggar peruntukan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Di mahkamah sivil yang sama, Majlis Daerah Besut dan kerajaan Terengganu memfailkan untuk membatalkan saman aktivis tersebut.

Kedua-dua defendan berhujah bahawa tindakan sivil itu adalah remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah dan, oleh itu patut dibatalkan tanpa mendengar meritnya.

Akaun Facebook My Forever Doggo (MFD) pada Oktober tahun lalu, berkongsi video berdurasi 52 saat memaparkan Kopi mati akibat kecederaan serius dan disedari seorang penduduk di taman perumahan berdekatan selepas terdengar bunyi tembakan.

Perkongsian video berkenaan menarik perhatian netizen dan mencetuskan polemik di media sosial khususnya golongan pencinta haiwan yang mahu menuntut keadilan atas kematian anjing liar itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen