Zaid Ibrahim hari ini tidak menolak saranan supaya Rafizi Ramli dilantik sebagai ketua pesuruhjaya SPRM seterusnya - semuanya gara-gara cadangan pembaca Malaysiakini di ruangan komen.
"Komen itu menarik perhatian saya. Saya tidak dapat mengelak daripada memikirkannya,”katanya kepada Malaysiakini.
Bekas menteri undang-undang itu berpendapat Rafizi kelihatan seperti pilihan yang mantap - sekurang-kurangnya di atas kertas.
“Memandangkan rekod prestasinya menentang rasuah, kamu boleh berhujah dia pilihan terbaik untuk kerja itu.

"Dan secara jujur, dia menepati kriteria 'berani' yang diperkatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim," tambahnya.
Bagaimanapun, Zaid sempat menyindir, dengan berkata idea Anwar tentang "berani" mungkin tidak sama dengan idea orang lain.
"Saya mungkin perasaan bahawa perdana menteri 'reformis' kita mungkin telah mengubah definisi keberanian.
"Dalam 'kamus reformis' yang dikemas kini, 'berani' mungkin hanya bermaksud mengikut arahan - mengejar musuh politik sambil menutup mata terhadap perbuatan rakan-rakan sendiri,” katanya sinis.
Zaid berkata cadangan melantik Rafizi sebagai ketua pesuruhjaya SPRM mungkin terdengar seperti idea bernas di atas kertas, tetapi realitinya bukan sebegitu.
"Rafizi mungkin bukan jenis 'berani' - ertinya: patuh - yang disukai sesetengah mereka yang berkuasa. Anwar tidak akan mengambil risiko itu dalam sejuta tahun," sindirnya lagi.
Zaid juga melemparkan satu lagi amaran berjaga-jaga - Rafizi masih ahli politik yang aktif, bermakna sentiasa ada risiko dia boleh menggunakan jawatan tersebut untuk kepentingan peribadinya.

"Rafizi mungkin mempunyai agenda dan cita-citanya sendiri. Walaupun beliau mendakwa komited kepada reformasi dan cita-cita lain, seseorang tidak boleh terlepas pandang bahawa beliau sebahagian besarnya berdiam diri sejak dilantik sebagai menteri.
“Beliau mewajarkan sikap berdiam diri ini atas alasan bahawa, sebagai anggota pentadbiran, jika dia bersuara, ini akan melanggar protokol.
"Tetapi bukankah ini tingkah laku yang pernah dikritik oleh pemimpin Pakatan Harapan terhadap MCA dan MIC semasa pemerintahan Barisan Nasional?" soalnya.
Jawatan ketua pesuruhjaya SPRM mendapat perhatian selepas kerajaan melantik semula Azam Baki untuk penggal ketiga, walaupun sebelum ini Pakatan Harapan mengkritik prestasinya.
Malah Nurul Izzah, anak perempuan Anwar - yang menewaskan Rafizi dalam pemilihan PKR untuk menjadi timbalan presiden parti itu - menyifatkan lanjutan kontrak sebagai tidak dialu-alukan.

Namun begitu, Anwar mempertahankan keputusan itu, atas alasan SPRM di bawah kepimpinan Azam telah menunjukkan keberanian luar biasa dalam menangani rasuah berskala besar.
SPRM - seperti agensi penguatkuasaan lain - terus berdepan tuduhan pendakwaan terpilih, walaupun di bawah kepimpinan Anwar, yang sebelum ini berjanji untuk melakukan pembaharuan menyeluruh sebagai perdana menteri.

