malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Rafizi hadir di Sidang Kemuncak Asean
Diterbitkan:  May 27, 2025 11:29 AM
Dikemaskini: 6:15 AM
ADS

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli, dilihat menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-46 hari ini atas kapasitinya sebagai Menteri Ekonomi.

Ini walaupun Rafizi sebelum ini berkata dia akan meletakkan jawatan sebagai menteri sekiranya tewas dalam pemilihan PKR minggu lalu, di mana dia tewas di tangan Nurul Izzah Anwar.

Menurut Astro Awani, Rafizi menghadiri sesi sidang pada jam lapan pagi, yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Mohamad Hasan.

Sebaik tiba, Rafizi dilihat berjabat tangan dengan Anwar dan para delegasi Asean yang lain.

Sidang kemuncak itu yang berlangsung selama dua hari bermula semalam diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Ketika ditemui pemberita, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata dia tiada maklumat lanjut berhubung sama ada Rafizi akan meletakkan jawatannya atau tidak.

“(Sidang Kemuncak) Asean belum tamat. Hari ini hari kedua. Sidang Asean GCC sedang berlangsung.

“Saya tiada maklumat lanjut (berhubung Rafizi),” kata menteri komunikasi itu, yang juga ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Rafizi membuat kemunculan awam pertama hari ini selepas tidak kelihatan di hari terakhir kongres nasional PKR di Johor Bahru pada Sabtu lalu.

Pada 10 Mei lalu, Rafizi berkata dia akan meletakkan jawatan sebagai menteri dan menjadi ahli Parlimen biasa sekiranya gagal mempertahankan jawatan timbalan presiden PKR.

Dalam pemilihan minggu lalu, Nurul Izzah menang dengan majoriti besar, dengan Rafizi hanya memperoleh 28 peratus undi.

Susulan itu, Rafizi menegaskan dia tetap bersemangat dan bertekad untuk meneruskan perjuangannya demi Malaysia yang lebih baik.

Malam tadi, Anwar yang merupakan presiden PKR dilaporkan mengarahkan kepimpinan baru parti untuk bermesyuarat dan menjalankan post-mortem terhadap pemilihan, serta membuat keputusan mengenai pelantikan jawatan dalam parti.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, yang mengekalkan jawatannya sebagai naib presiden PKR, berkata mesyuarat itu akan diadakan dalam beberapa hari lagi.

Dia berkata antara agenda yang akan dibincangkan ialah mengenai peranan untuk Rafizi.

Namun, Rafizi sebelum ini telah menyatakan dia tidak berminat untuk memegang sebarang jawatan dalam parti sekiranya tewas dalam pemilihan timbalan presiden.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen