malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Hadiah Rafizi: Cara membina gelombang rakyat
ADS

It is one of the most revealing, purely sociological phenomena that the individual feels himself carried by the ‘mood’ of the mass, as if by an external force.”—Georg Simmel

Tatkala kita menyebut Nazisme apa yang terpancul di fikiran kita? Adolf Hitler. Kalau kita menyebut Reformasi pula?

Kedua-dua jawapan di atas tidak mempunyai perkaitan. Kecuali, masing-masing pernah menjadi ketua parti politik. Setelah berdepan dengan segala ranjau dalam pencak politik, kedua-dua sosok tersebut akhirnya berjaya menongkah ke puncak kuasa berkat sokongan rakyat.

Hitler berkuasa melalui gabungan karisma dan persekitaran yang memihak kepadanya. Ketika itu, kegawatan ekonomi pasca Perang Dunia Pertama dan kebejatan sistem politik Republik Weimar mencipta peluang untuknya menggalang rakyat yang resah dengan pelbagai kemelut yang melanda.

Dengan kemahiran pidato yang luar biasa, Hitler memanfaatkan keresahan rakyat ini hingga berjaya menarik sokongan golongan kelas bawahan dan pertengahan. Menyertai Parti Pekerja Jerman pada tahun 1919, Hitler segera menguasai parti tersebut, lantas mengubahnya menjadi Parti Nazi.

Hitler juga pernah dipenjarakan. Kesempatan dalam penjara digunakannya untuk menulis Mein Kampf yang menggariskan ideologi Nazi-nya. Selepas dibebaskan, Parti Nazi menempuh pilihanraya dan menjadi parti terbesar di Reichstag sebelum Hitler dilantik sebagai Canselor pada tahun 1933.

Tidak lama kemudian, berdalihkan episod kebakaran Reichstag, Hitler menyekat kebebasan bersuara, melarang kumpulan pembangkang, dan menghapuskan demokrasi sampai memusatkan kuasa mutlak kepadanya. Pada tahun 1934, beliau mengisytiharkan diri sebagai Führer.

Apa yang dipaparkan ini merupakan liku-liku yang dilalui oleh Hitler untuk menampuk kuasa. Persekitaran Malaysia tentunya jauh berbeza. Namun, dinamika politik sejak tahun 2018 menyaksikan mereka yang berkuasa memerlukan serba sedikit pemusatan kuasa demi survival politiknya.

Kuasa dan paranoia

Dewasa ini, ekonomi Malaysia nampak sedikit pemulihan, walaupun belum boleh dikatakan cemerlang. Kejayaan penubuhan kerajaan perpaduan pada November 2022 turut menawarkan sekelumit harapan. Namun, keadaan memberangsangkan ini mungkin tidak berpanjangan.

Lazimnya, mereka yang pernah berada di puncak kuasa bergelut dengan perasaan "kehendak untuk terus berkuasa". Hitler memahami lambungan perasaan ini lewat Nietzsche.

Sudah tentu, tidak semua ahli politik pernah membaca Thus Spoke Zarathustra mahupun Mein Kampf. Namun, kehendak ini adalah universal, lebih-lebih lagi untuk para ahli politik yang mabuk dengan kelicikan permainan kuasa.

Malah, kehendak ini datang bersekali dengan paranoia. Mereka yang sedang berkuasa ini sentiasa menduga-duga berlakunya pengkhianatan. Bimbang dengan kemungkinan tersebut, mereka pantas mengepung diri dengan lingkaran kecil para setiausahanya.

Anehnya, para balaci fanatiknya pula memiliki sindrom sebaliknya—"kehendak untuk terus dikuasai". Mereka ini merasa lebih gagah, lantang, dan benar jika dapat bertindak dalam jumlah yang ramai. Ini ibarat hyena yang hanya berani tatkala berada dalam histeria kerumunan.

Mana-mana musuh kepada Führer-nya akan dicantas habis-habisan. Dalam kegilaan kolektif ini, pemimpin paranoid seperti ini begitu takut kehilangan kuasa hingga tidak kekok untuk anak beranaknya sendiri dipilih sebagai bakal penggantinya.

Walaupun ini tidak dilakukan oleh Hitler, tetapi telah pun dilakukan oleh Saddam Hussein, Kim Jong Un, Fidel Castro, sekadar beberapa pengalaman. Justeru, mana-mana ahli politik baru yang menyinar sentiasa dipandang sebagai lawannya. Pada saat yang tepat, pesaingnya pasti akan ditunjukkan jalan keluar.

Langkah Rafizi

Apa yang berlaku kepada Rafizi Ramli semasa Kongres Nasional KEADILAN 2024/2025 merupakan ulangan sejarah yang melahirkan Reformasi 1998. Ternyata, mereka yang tidak mengambil ibrah akan dihukum kembali umpama kata George Santayana: “Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.”

Menariknya, berbeza nasib dengan kebanyakan mangsa di tangan para diktator dalam sejarah dunia, Rafizi sempat berundur dengan meninggalkan sebuah hadiah yang puitis: Cara membina gelombang rakyat.

Pada ucapan terakhirnya selaku Timbalan Presiden PKR di Johor Bahru pada 20 Mei 2025, seakan dapat menebak nasibnya, Rafizi menghadiahkan kepada bakal timbalan presiden yang baru petua-petua membina kebangkitan rakyat ke arah kejayaan dalam pilihan raya.

Jelajah HIRUK yang digerakkan oleh Rafizi, walaupun dalam tempoh singkat, membuktikan bahawa angin rakyat (public moods) boleh direkayasa hingga kelihatan sangat organik. Pendekatan Rafizi ini tidak diragui merupakan sebuah ujikaji yang telahpun berjaya.

Bagi Rafizi, gelombang rakyat berpunca daripada dorongan emosi dan tindakan simbolik demi mencapai perubahan politik. Rafizi benar—selari dengan buku The Crowd: A Study of the Popular Mind oleh Gustave le Bon—apabila menyatakan bahawa perubahan bukan digerakkan oleh otak, tetapi oleh emosi.

Selain emosi, hal terpenting lain ialah suasana yang memihak. Dalam jelajahnya, Rafizi memberi naratif bahawa PKR kini diuji dengan kuasa. Imaginasi yang dibinanya ini sangat menangkap kerana sejarah politik tanah air sering merakamkan pelbagai kecurangan tatkala terbuai dengan kekuasaan.

Walau bagaimanapun, naratif yang imaginatif sahaja takkan berguna sekiranya tidak dikarang dengan sebaiknya. Skrip yang digunakan oleh Rafizi lengkap dengan himbauan cerita-cerita sebelum ini, khususnya membangkitkan kezaliman Mahathir terhadap Anwar sejak tahun 1998.

Bahkan, ketika ramai yang meminta dirinya pasrah terhadap segala kecurangan dalam Pemilihan PKR, beliau cerdas membangkitkan pertanyaan: Apakah Anwar juga pasrah tatkala Mahathir menzaliminya pada tahun 1998?

Manusia seperti Rafizi—sama seperti Anwar pada tahun 1998—adalah no nonsense, alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Kini, episod Anwar berulang kepada Rafizi. Puncanya? Sama sekali tidak dapat menerima amalan memunggah kekayaan ketika berkuasa.

Sungguhpun begitu, naratif dan skrip yang sekemas mana sekalipun, sekiranya tidak dipersembahkan dengan bergaya oleh aktor berbakat, pasti takkan menghasilkan teater politik yang memukau. Akan tetapi, Rafizi juga kebetulan adalah aktor politik yang cemerlang; kombinasi pidatonya sejitu Mahathir dan seghairah Anwar. Beliau malahan berjaya menonjolkan dirinya sebagai reformis yang lebih tulen berbanding Anwar.

Keupayaan Rafizi menempatkan dirinya sebagai reformis sejati—sama ada dengan atau tanpa ujian kuasa—ini diraikan oleh khalayak sepanjang jelajahnya. Kita dapat melihat ketangkasan Rafizi mengubah pentas parti menjadi pentas negara, yang awal-awal disebutnya bahawa matlamat kempennya bukanlah jawatan Timbalan Presiden parti.

Drama politik

Sambutan hangat terhadap kempen "menghidupkan idealisme reformasi" ini dibantu dengan kepintaran Rafizi memanfaatkan segala media yang ada. Kerana itu, terdapat jurang yang ketara antara penerimaan khalayak terhadap DAMAI berbanding HIRUK, khususnya dalam media sosial.

Sebahagian penganalisis mungkin menganggap pertembungan mereka ini adalah ribut dalam cawan yang sifatnya sementara. Namun, kalau Anwar Ibrahim memiliki secebis kepekaan terhadap apa yang bergelora di kalangan rakyat, maka seharusnya sudah boleh mengira hari-hari penggal terakhirnya.

Kini, citra yang terlekat dalam fikiran rakyat ialah PKR mulai kecundang dalam ujian kuasa. Rafizi memang kalah dalam pertempuran, tetapi belum kalah dalam perperangan. Beliau sendiri menyebut bahawa dirinya tidak menghabiskan semua pelurunya sekali gus; sentiasa ada “sembilan nyawa” yang boleh dijulur-julurkannya.

Malah, dengan siri jelajahnya, Rafizi bingkas memanfaatkan sebarang ruang dalam membina momentum rakyat melampaui cakupan kempen pemilihan parti. Semuanya diadun menjadi mise-en-scène yang berjaya menghasilkan drama politik yang mendebarkan tetapi mempesonakan bak pertarungan dalam Ultimate Fighting Championship (UFC).

Selain itu, Rafizi pandai bermain-main dengan masa depan. Dalam sindiran, beliau menyatakan bahawa "demi nama baik Anwar, Nurul Izzah Anwar mesti dimenangkan." Terbukti Nurul Izzah menang, tetapi nama baik Anwar tetap sahaja terpalit dengan nepotisme terlepas apapun alasan demokratiknya.

Warisan untuk reformasi

Dengan gabungan naratif idealisme reformasi, skrip bertemakan ujian dalam kuasa, dan memanfaatkan saluran digital, Rafizi menggubah cerita yang masuk akal hingga memaut jiwa-jiwa yang sekian lama mual dengan "sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi". Arus ini bukan sekadar sebuah seni perlawanan, tetapi juga sebuah hadiah Rafizi untuk Puteri Reformasi.

Namun, Nurul Izzah—yang kini menjadi Panglima Perang selaku Timbalan Presiden PKR—jangan mudah gembira, meskipun nampak sekali dirinya berpura-pura tidak bergembira saat diumumkan kemenangannya. Hadiah tersebut mempunyai kuncinya: Keaslian.

Jelas sekali terserlah kegembiraan kawanan DAMAI saat diumumkan kekalahan Rafizi. Sorai sorai bergemuruh di kala Rafizi memaksa dirinya berada sepentas dengan Anwar. Walhal, euforia kemenangan ini sebenarnya adalah permulaan detik kejatuhan diri mereka sendiri—“when you're dead, you do not know that you are dead.”

Sepanjang kempennya, persembahan politik Nurul Izzah terserlah pelbagai kepincangan. Himpunan reaksi yang terdapat dalam media sosial telah pun menelanjangkannya bulat-bulat; niatnya dicurigai, pidatonya diteran-teran, catur politiknya bersimpang-siur—semuanya ibarat kemunafikan Kamala Harris versi Malaysia.

Justeru, walaupun ini adalah hadiah istimewa Rafizi untuknya, tetapi tanpa persembahan yang autentik, semuanya tidak bererti. Hadiah tersebut hakikatnya lebih tepat ditujukan kepada generasi baru yang ingin mewarisi idealisme reformasi meskipun seberat manapun ujian kuasanya.

Ringkasnya, Anwar memang menyalakan obor reformasi, namun nikmat kuasa memadamkannya. Tanpa hadiah bermakna ini, kita mungkin masih lagi mengira bahawa jiwa reformasi takkan selama-lamanya berpisah daripada raga asalnya.


AQIL FITHRI merupakan anggota Diskopi, sebuah perkumpulan perbincangan yang berpangkalan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen