malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Naikkan umur persaraan wajib secara berperingkat - Adun Bukit Gasing
Diterbitkan:  May 26, 2025 10:29 AM
Dikemaskini: 2:32 AM
ADS

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, menyokong cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 kepada 65 tahun.

Namun begitu, katanya, perkara itu perlu dilaksanakan secara berperingkat memandangkan ia memerlukan pendekatan yang seimbang dan menyeluruh.

"Perbincangan mengenai umur persaraan wajib di Malaysia adalah amat penting kerana ia memberi kesan langsung terhadap landskap ekonomi negara, kesejahteraan warga emas, dan prospek pekerjaan untuk generasi muda kita,

“Ini adalah isu yang pelbagai dimensi dan memerlukan pendekatan yang seimbang serta menyeluruh, mengambil kira semua mekanisme sedia ada, trend global, dan keperluan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rajiv turut mengakui pandangan Azalina mengenai sumbangan berterusan warga emas yang sihat dan aktif.

“Tidak dapat dinafikan bahawa ramai rakyat Malaysia berusia lebih 60 tahun mempunyai pengalaman yang sangat berharga dan keinginan untuk terus kekal produktif. Penglibatan mereka secara berterusan sememangnya boleh memberi manfaat kepada masyarakat kita," katanya.

Tambahnya, di bawah kerangka pada masa ini, seseorang individu mempunyai pilihan untuk bersara pada umur 55 tahun dan mengeluarkan simpanan KWSP sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.

“Fleksibiliti ini telah tersedia untuk mereka yang ingin berundur daripada pekerjaan sepenuh masa lebih awal dan beralih ke fasa kehidupan yang berbeza.”

“Sebaliknya, kenaikan umur persaraan wajib secara berperingkat akan menyediakan pilihan yang sangat berguna kepada mereka yang ingin terus bekerja melebihi usia 60 tahun.

"Ini adalah soal memberi pilihan, dan mengelakkan penamatan pekerjaan secara automatik terhadap individu yang masih produktif apabila mereka mencapai usia 60 tahun, membolehkan mereka terus menjadi penyumbang aktif kepada ekonomi dan masyarakat,” tegas Rajiv.

Azalina sebelum ini berkata adalah menjadi satu kerugian apabila seseorang individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun, sedangkan ramai warga emas hari ini masih sihat, aktif, dan mampu menyumbang kepada tenaga kerja.

Menurut laporan Bernama, Azalina berkata di beberapa negara lain — termasuk negara anggota Asean yang pernah dia lawati — menteri undang-undang masih berkhidmat sehingga usia 70-an, dan hakim pula dibenarkan terus memegang jawatan sehingga usia 65 atau bahkan 70 tahun.

Sebagai respons, Pemuda Amanah menyifatkan cadangan Azalina untuk melanjutkan umur persaraan wajib bercanggah dengan realiti ekonomi dan sosial negara.

Timbalan ketuanya, Danial Al-Rashid Haron, menggesa menteri berkenaan supaya mempertimbangkan semula pengenalan semula had umur 55 tahun sebagai had persaraan.

Di Malaysia, umur persaraan wajib bagi kakitangan kerajaan ditetapkan pada 60 tahun. Ini juga merupakan umur persaraan minimum bagi pekerja sektor swasta di bawah Akta Umur Persaraan Minimum 2012.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen