malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lantikan politik: Akhirnya PM faham apa dilakukan k'jaan BN dahulu - Akmal
Diterbitkan:  May 25, 2025 10:35 AM
Dikemaskini: 4:11 AM
ADS

Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, berkata perdana menteri, Anwar Ibrahim akhirnya faham mengenai isu lantikan politik dalam kerajaan.

"Alhamdulilah. Terima kasih PMX akhirnya memahami apa yang dilakukan oleh kerajaan BN dahulu," kata Akmal dalam hantaran ringkas di Facebook.

Ketika berucap dalam sesi penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Johor Bahru semalam, Anwar menegaskan lantikan politik seharusnya dibenarkan dan bukan satu bentuk penyalahgunaan kuasa.

Anwar berkata, perkara tersebut merupakan balasan yang selayaknya diterima individu berkenaan atas jasa dan sumbangan mereka kepada kejayaan parti hingga menjadi kerajaan.

“Kita seharusnya beri jawatan kepada individu yang layak sebagai balasan kepada jasa dan sumbangan berpuluh tahun yang mereka berikan dalam perjuangan parti,” katanya seperti dilaporkan media.

Pada 22 Oktober tahun lalu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, mencadangkan di Parlimen supaya hanya golongan profesional dilantik ke jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC), dengan mengecualikan mereka yang mempunyai latar belakang politik.

Namun, Anwar ketika itu menegaskan pendirian kerajaan bahawa ahli politik tetap boleh dilantik ke jawatan tertentu, kecuali sebagai ahli lembaga pengarah institusi kewangan dan agensi-agensi tertentu yang berkaitan, melalui proses berasaskan merit.

Dia menambah semua lantikan ke jawatan penting dalam GLC tertakluk kepada saringan ketat, melibatkan agensi seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis.

Namun, pendirian itu dikritik oleh Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center), yang menegaskan bahawa saringan teknikal sedemikian tidak menyelesaikan isu utama dalam lantikan politik — iaitu pengaruh politik dan budaya politik naungan.

Menurut C4, amalan lantikan politik ke dalam GLC telah lama dikritik kerana sering digunakan sebagai membalas sokongan politik dan memastikan kesetiaan kepada parti.

Pada Mei 2023, Dr Akmal mengkritik pelantikan ahli politik dari PH ke beberapa agensi utama di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan. Ketika itu, dia menyatakan bahawa pelantikan tersebut bercanggah dengan prinsip kerajaan perpaduan serta semangat reformasi yang dilaungkan oleh Anwar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen