malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Tugas besar pastikan Anwar kekal PM bagi penggal kedua'
Diterbitkan:  May 25, 2025 10:13 AM
Dikemaskini: 2:13 AM
ADS

Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang, mengingatkan cabaran besar yang menanti parti itu, terutamanya misi untuk memastikan Presiden PKR, Anwar Ibrahim, kekal sebagai perdana menteri bagi penggal kedua.

Dalam satu hantaran di Facebook malam tadi, Chang menyeru ahli parti itu supaya bersatu dan bergerak ke hadapan selepas berakhirnya pemilihan parti.

"Tugas besar menanti kita semua. Mengukuhkan PKR di semua peringkat. Menawan lebih banyak kerusi dalam pilihanr raya negeri yang akan datang dan memastikan kemenangan besar dalam PRU16, demi mempertahankan mandat rakyat dan mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk penggal kedua," tulisnya.

Chang, yang berjaya dipilih semula sebagai Naib Presiden, turut mengingatkan bahawa kemenangan dan kekalahan dalam pemilihan parti adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

"Tidak ada pemimpin akan tinggalkan perjuangan besar ini hanya kerana keputusan pemilihan tidak berpihak pada mereka. Yang penting, parti bertanggungjawab mengendalikan sistem pemilihan yang telus, adil dan berintegriti.

"Ini bukan soal individu. Ini soal masa depan parti. Soal negara dan saya komited untuk terus bekerja dan berjuang,” tambahnya.

Pemilihan parti tahun ini menyaksikan Rafizi Ramli tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden kepada Nurul Izzah Anwar, anak kepada Anwar . Langkah itu mengundang tuduhan amalan nepotisme dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam parti.

Proses pemilihan itu sendiri turut tidak terlepas daripada kritikan, apabila ia dicemari dakwaan penyelewengan dan politik wang.

Di tengah kekalutan tersebut, para pemerhati melahirkan kebimbangan bahawa PKR – yang suatu ketika dahulu menjadi simbol penentangan dan reformasi – kini telah menyimpang daripada asas perjuangan asalnya.

Parti yang lahir daripada gelombang gerakan reformasi itu dibina atas prinsip keadilan, kebertanggungjawaban, dan iltizam untuk menentang autoritarianisme. Namun hari ini, para pengkritik berpendapat, prinsip-prinsip itu semakin terhakis akibat kepentingan politik jangka pendek dan unsur politik dinasti.

Selepas kekalahannya, Rafizi – yang dijangka akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Ekonomi – menegaskan bahawa jawatan dalam kerajaan bukanlah keutamaan dalam usaha membawa reformasi, sambil menyatakan bahawa perubahan perlu datang daripada masyarakat sendiri.

Dia turut menegaskan bahawa idealisme PKR tidak bergantung kepada Anwar semata-mata kerana pemimpin datang dan pergi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen