ULASAN | Tajuk tulisan ini diilhamkan daripada komen nakal sesetengah orang di media sosial susulan kejayaan Nurul Izzah Anwar – dengan bantuan majoriti perwakilan – mengetepikan Rafizi Ramli lalu menjadi orang nombor dua di dalam partinya.
Timbalan Presiden binti Presiden ialah frasa yang boleh diberi pelbagai tafsiran, sama ada sebagai bahan jenaka, gurauan, sindiran, hasut maya (troll) atau sebagainya. Namun apa pun tafsiran yang ingin kita terima, ia tidak sekali-kali mengubah realiti yang berlaku.
PKR sudah membuktikan organisasi itu merupakan sebuah parti reformasi yang menjunjung tinggi gagasan demokrasi. Dan kini melalui pemilihan secara demokrasi itulah perwakilan PKR sendiri meletakkan anak sulung Anwar pada kedudukan itu.
Walaupun boleh disilatkan bahawa posisi Nurul Izzah itu hasil percaturan dan seumpamanya, keadaan itu mungkin boleh disanggah oleh prinsip-prinsip demokrasi. Tapi tak mengapalah.
Biarpun ayahnya – Anwar Ibrahim – merupakan presiden parti, yang boleh memastikan Nurul Izzah tidak menjadi orang nombor dua PKR hanyalah kekalahan dalam pemilihan.
Tetapi perwakilan yang meraikan demokrasi pada Jumaat lalu sudah mengundi dan memilih agar Nurul Izzah menang.
Lawan Nurul Izzah yang juga penyandang jawatan timbalan presiden, Rafizi Ramli, juga mengakui dan reda dengan ketetapan Yang Maha Berkuasa.

Yang pasti perjuangannya selama 27 tahun bersama PKR tidak akan terhenti di sini sahaja. Sama ada bergiat dalam parti atau kerajaan, Rafizi tentu cukup matang untuk menentukan hala tuju dan tumpuannya selepas ini.
Nurul Izzah pula sudah melakar rekod tersendiri dalam sejarah politik tanah air dengan kedudukan itu. Gandingan mantap anak-papa sekarang sudah pasti akan memberi natijah yang menjadi tumpuan banyak mata memandang.
Kesan jangka masa pendek dan panjang akan diterjemah dalam pelbagai sisi di tangan barisan kepimpinan baru ini. Ia akan menjadi hipotesis dalam analisis politik masa depan.
Sebagai parti yang menjadi tunjang pembentukan kerajaan persekutuan, PKR kini memasuki fasa pelaksanaan untuk mengadun kemampanan negara.
Sekarang bukan lagi masa untuk bersedap-sedap dengan ghanimah sebagai kerajaan, sebaliknya roh perjuangan itu harus dijelmakan secara meyakinkan, dan buktinya hanyalah dapat dijelmakan dalam bentuk prestasi kerajaan.
Sebagai parti yang bangkit daripada penderitaan panjang, PKR seharusnya lebih cepat sedar dalam menangani perkara-perkara yang akan ditentang dan dibenci rakyat.

Bagaimana dengan reformasi di peringkat pentadbiran nasional, jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan? Soal membasmi rasuah, menguruskan deep-state, memperkasa fungsi lantikan-lantikan politik dan rekayasa kerangka Malaysia Madani cepat menusuk ke lubuk hati rakyat.
Itu semua harus dilunaskan bahkan keutamaannya mengatasi segala slogan muluk yang sedang dihidang indah.
Acuan barisan kepimpinan PKR yang menggambarkan ‘ada Izzah di sebalik Anwar’ ini tidak boleh tidak, akan menjadi bola tanggung yang menggiurkan pihak lawan.
Mereka hanya menanti sedikit kesilapan berlaku untuk dijadikan peluru tajam yang pasti mudah mempengaruhi naratif di hati rakyat. Ini bukan peringatan, cuma sebagai sambutan kepada keadaan terjadi.
PKR juga tidak sesuai lagi beretorik bahawa parti itu adalah parti derita. Dalam konteks semasa, ‘modal’ itu tidak relevan lagi.

Sudah cukup, cukup sudah, bak kata Nirwana Band.
Keberadaan PKR kini harus menjadi pewacana kepada segmen-segmen pemikiran masyarakat yang pelbagai, mengangkat nilai-nilai rakyat dengan program yang memberi kematangan pemikiran, percambahan nilai sosiobudaya, agama dan kemajuan sektor ekonomi.
Hal-hal sedemikian akan menjadi kayu ukur segera untuk rakyat terbanyak menikmati, menghayati dan paling penting berasa cukup dengan usaha-usaha diambil kerajaan.
Sehingga itu apa saja peluru yang cuba dijaja pembangkang, akan kalis secara organik. Benar, ia tidak senang. Tetapi tempoh tiga tahun mentadbir sudah cukup untuk menilai sejauh mana keberkesanan sentuhan Kerajaan Perpaduan ini.
Adakah rakyat benar-benar jatuh cinta dengan kerajaan ini? Atau rakyat sebenarnya sedang bersedia untuk menggulingkan kerajaan Madani?
Pada tahun-tahun terakhir sebelum PRU ke-16, memberi sentuhan bermakna ke hati rakyat adalah elemen terpenting bagi memastikan kerajaan ini kekal berdiri teguh selepas itu.
Jika tidak, di mana pun keberadaan Nurul Izzah, ia tetap akan menjadi luka dan parut kekal dalam sejarah politik negara. Bahkan pada batang tubuh PKR itu sendiri. Catatan ini bukan peringatan, cuma sedikit reaksi susulan keadaan yang terjadi.
N FAIZAL GHAZALI adalah wartawan Malaysiakini, dia sentiasa tidak sabar menanti PKR menang banyak kerusi di Kelantan, walaupun hanya dalam mimpi.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


