Seramai 53 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda Ulul Albab Trolak mencatat kejayaan membanggakan apabila terpilih mewakili Malaysia ke International Festival of Wind Orchestra di Prague, Republik Czech pada bulan depan.
Sebagai persiapan dan pemanas semangat sebelum berentap bersama 11 negara termasuk Croatia, Iceland dan Itali, pasukan orkestra yang terdiri daripada pelajar tingkatan dua hingga lima itu akan terlebih dahulu mengadakan konsert khas bertajuk Desaku Mendunia di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri, di Kuala Lumpur pada Selasa dan Rabu ini.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Ahmad Shabery Cheek berkata konsert anjuran pihaknya dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kementerian Komunikasi itu adalah bagi meraikan serta memberi sokongan kepada pasukan orkestra berkenaan.
“Apabila kita hantar pasukan ini ke Prague, saya boleh katakan ia sesuatu yang luar biasa kerana kebanyakan mereka datang dari kampung, cucu-cucu peneroka yang asalnya tidak faham pun tentang muzik atau nota muzik. Tetapi dari sini kita sudah berjaya melahirkan sekumpulan anak muda yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
"Ini memang luar biasa, apatah lagi sekarang mereka mampu menghasilkan suara merdu mengikut nota dan nada yang diperlukan, menjadi satu harmoni dan melodi yang sangat menyentuh hati,” katanya pada sidang media Konsert Desaku Mendunia di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Konsert Desaku Mendunia akan menampilkan artis terkenal seperti Jamal Abdillah dan Dayang Nurfaizah serta menjadi platform soft launch bagi Mega Karnival 3 Dimensi, merangkumi Hari Peneroka Felda (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD) serta Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), yang bakal disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas mengenai persiapan pasukan berkenaan, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Muzik RTM Mokhzani Ismail berkata persediaan rapi telah dilakukan sejak enam bulan lalu bagi memastikan para pelajar dapat memberikan persembahan mantap menjelang hari persembahan.
"Kita harap mereka dapat lakukan yang terbaik. Dalam orkestra, setiap orang ada tanggungjawab masing-masing, sama ada yang bermain percussion atau oboe, sebab semua ada peranan tersendiri. Itu sangat penting untuk menyatukan mereka menjadi sebuah orkestra yang lengkap," katanya.
Dia yang juga penilai serta pembimbing pasukan berkata disiplin menjadi kunci utama dalam permainan muzik kerana setiap ahli perlu bermain dalam satu pasukan dengan rentak yang sama bagi menghasilkan harmoni lengkap di atas pentas.
Sementara itu, ketua pasukan orkestra Adwa Syazani Mohd Soleh, 17, berkata meskipun berdepan cabaran seperti bibir selalu kering dan tangan sering lenguh ketika bermain seruling, itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya, malah sentiasa berkobar-kobar untuk membawa nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
“Saya datang daripada keluarga biasa sahaja (sederhana), tak pernah terfikir pun boleh sampai ke Prague. Saya ingat kalau ada pun paling-paling dekat Singapura saja, tetapi rupa-rupanya kami diberi peluang mewakili Malaysia ke satu pertandingan yang sangat jauh dari Asia Tenggara kita.
"Sekarang semangat kami memang satu sahaja, nak buat yang terbaik untuk Malaysia dan membanggakan nama MRSM Felda,” katanya yang berkongsi kumpulan orkestra itu berlatih tiga jam dalam empat hari seminggu.
-Bernama

