malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Persatuan Galian Sabah gesa ‘Albert’ diberi perlindungan
Diterbitkan:  May 24, 2025 8:38 PM
Dikemaskini: 12:38 PM
ADS

Persatuan Pengusaha Galian Sabah (PPGS) menggesa pihak berkuasa memberikan perlindungan kepada seorang ahlinya yang menjadi pemberi maklumat dalam dakwaan skandal rasuah lesen penerokaan mineral di negeri itu.

Dalam satu kenyataan hari ini, yang mengesahkan pemberi maklumat tersebut – dikenali dengan nama “Albert” – sebagai ahli persatuan, PPGS membandingkan kes itu dengan penculikan Pamela Ling dan kematian Teoh Beng Hock, dan menegaskan Albert adalah saksi utama yang wajar diberikan perlindungan.

Walaupun kes pemberi maklumat yang mendedahkan skandal rasuah di Sabah tiada kena-mengena dengan dua kes itu, namun ketiga-tiga kes tersebut mempunyai fakta dan naratif yang sama iaitu peranan mereka adalah sebagai saksi utama berhubung tuduhan yang sangat berat terhadap seorang atau lebih daripada seorang individu yang berpengaruh atau berkuasa.

“Susulan daripada itu, PPGS menggesa kerajaan dan SPRM untuk segera memberi perlindungan kepada pemberi maklumat ini supaya tidak mengulangi kesilapan dan kekeliruan seperti insiden yang terjadi kepada Teoh dan Ling,” katanya.

Pada 2 Mei lalu, keluarga Ling mendedahkan yang wanita berusia 42 tahun itu dalam perjalanan untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM pada 9 April bagi membantu siasatan berhubung kes pengubahan wang haram, namun diculik sebelum sempat tiba di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Pamela Ling

Pemandu Grab yang membawanya ketika itu mendakwa sekumpulan individu berpakaian seragam polis menghentikan kenderaannya, memaksa Ling keluar, dan mengarahkan dia menandakan perjalanan itu sebagai “selesai”.

SPRM menafikan sebarang unsur gangguan atau salah laku dalam pengendalian kes Ling, dan menegaskan semua tindakan dilakukan mengikut undang-undang.

Kematian Teoh Beng Hock

Pada 2009, Teoh yang merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor di Plaza Masalam, Shah Alam.

Suruhanjaya Siasatan Diraja pada 2011 mendapati dia didorong untuk membunuh diri ekoran soal siasat yang agresif. 

Namun pada 2014, Mahkamah Rayuan memutuskan kematian Teoh disebabkan atau dipercepatkan oleh tindakan yang menyalahi undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM.

Minggu lalu, polis mengklasifikasikan kes Teoh sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). Pada 20 Mei, Jabatan Siasatan Jenayah menulis kepada peguam keluarga Teoh, Ramkarpal Singh, bagi memaklumkan keputusan itu yang dikatakan telah ditentukan oleh peguam negara pada 19 Mei.

Menurut PPGS, jika kerajaan dan SPRM gagal mengendalikan perkara itu dengan penuh tanggungjawab, mereka harus bersedia untuk dipertanggungjawabkan sekiranya sebarang kejadian buruk menimpa Albert.

Pada awal bulan ini, Albert membuat laporan polis kerana khuatir akan keselamatannya, dan merujuk penculikan Ling sebagai sebab utama dia memohon perlindungan daripada kerajaan.

Pasukan peguamnya, termasuk bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, turut memaklumkan bahawa Albert telah menerima ugutan bunuh dan menyatakan kebimbangan terhadap persamaan dengan penculikan Ling yang masih belum terungkai.

Pada 29 April, Albert telah menyerahkan sebuah telefon bimbit yang mengandungi mesej WhatsApp berkaitan kes tersebut serta bukti hampir 300 halaman kepada SPRM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen