Siasatan semula ke atas kematian Teoh Beng Hock hanya mengulang strategi lama, kata adik mendiang, Teoh Lee Lan.
Lee Lan berkata siasatan itu hanya tertumpu kepada teori bahawa Beng Hock membunuh diri, tanpa mempertimbangkan kemungkinan pembunuhan atau jenayah.
“Siasatan terkini hanya menambah unsur superfisial penggunaan dron – pada asasnya taktik lama yang dibungkus semula dengan wajah baru.
“Fokus utama tetap kepada keluarga Beng Hock. Sekali lagi, keluarga terus diganggu oleh pihak polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Jentera kerajaan digunakan untuk menekan sebuah keluarga yang hanya menuntut keadilan. Mengapa keluarga mangsa dilayan begini? Mengapa kerajaan baru masih menyasarkan keluarga ini dan bukannya menyiasat pegawai SPRM yang menahan Beng Hock?” katanya dalam kenyataan.
Pada Khamis lalu, Lee Lan berkata keputusan untuk mengklasifikasikan siasatan terhadap kematian Beng Hock sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) tidak mencerminkan janji yang pernah dibuat oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dia berkata keluarganya amat kecewa dengan keputusan tersebut, yang ditentukan oleh AGC dan disampaikan melalui polis.
Pada 2009, Beng Hock yang merupakan pembantu kepada Adun Seri Kembangan ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas disoal siasat semalaman di pejabat SPRM Selangor, yang ketika itu terletak di Plaza Masalam, Shah Alam.

Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) pada 2011 memutuskan Beng Hock membunuh diri ekoran soal siasat yang agresif, namun Mahkamah Rayuan pada 2014 memutuskan kematiannya berpunca daripada atau dipercepatkan oleh perbuatan yang melanggar undang-undang, termasuk oleh pegawai SPRM.
Mengulas lanjut, Lee Lan mendakwa siasatan yang tidak adil dan berat sebelah oleh polis dan AGC, yang memberi tumpuan kepada mangsa dan bukannya pelaku, adalah punca utama mereka gagal mendapatkan kebenaran sehingga kes diputuskan sebagai ‘NFA’.
“Tindakan mereka yang berterusan mempertahankan pegawai SPRM jelas menunjukkan ini adalah kes di mana penjawat awam melindungi sesama sendiri, walaupun dengan mengorbankan nyawa orang awam dan integriti undang-undang serta kehakiman negara.
“Layanan dua darjat ini – di mana pegawai atasan boleh menyalah guna kuasa dan membunuh rakyat biasa tetapi masih menikmati keistimewaan, manakala rakyat biasa terpaksa merayu untuk keadilan dan terus diancam – menjadikan sistem hari ini tidak ubah seperti autokrasi feudal.
“Di bawah slogan ‘Malaysia Madani’ Anwar, adakah kerajaan akan berpihak kepada pegawai yang membunuh rakyat, atau keluarga mangsa yang menuntut kebenaran dan keadilan? Rakyat sedang memerhati,” katanya.
‘Siasat sebagai kes bunuh’
Lee Lan menggesa Anwar untuk mengarahkan polis mengklasifikasikan semula kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh, selaras dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2014.
Dia turut mengulang desakan keluarganya agar seorang pakar penyiasat jenayah bertaraf antarabangsa dilantik untuk menjalankan siasatan terhadap kematian abangnya.
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan polis untuk melengkapkan siasatan kematian Beng Hock dalam tempoh enam bulan, selepas permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapanya dibenarkan oleh hakim Mahkamah Rayuan, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.
Semasa pentadbiran pertama PH di bawah Dr Mahathir Mohamad, kabinet telah bersetuju untuk membuka semula siasatan terhadap kematian Beng Hock.
Sebelum siasatan dibuka semula, dua pasukan siasatan khas telah dibentuk pada 2011 dan 2015. Namun, kedua-dua siasatan itu turut diklasifikasikan sebagai NFA.
Pada Februari tahun ini, polis mengumumkan mereka akan menggunakan teknologi pembinaan semula tempat kejadian jenayah dalam bentuk 3D untuk membantu siasatan semula.
Namun, pada bulan yang sama, keluarga Beng Hock mendakwa polis terus-menerus menyoal siasat mereka berbanding pegawai SPRM yang terlibat dalam kematiannya.

