Presiden PKR, Anwar Ibrahim menolak dakwaan nepotisme berhubung penglibatan ahli keluarganya dalam parti itu dengan menegaskan bahawa peranan mereka muncul dalam saat-saat genting ketika perjuangan parti sedang diuji.
Dalam ucapannya di hadapan perwakilan ketika Kongres Nasional PKR hari iini, Anwar mengimbas kembali detik getir ketika dia dipenjara.
Anwar berkata pada waktu itu isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa memikul beban yang besar dengan mengambil alih tampuk kepimpinan PKR buat sementara waktu.
“People can say isteri, anak… tapi masa kita bertempur dulu, mana ada kongres. Masa saya masuk penjara, Azizah ambil alih. Masa tu tak timbul pun isu nepotisme,” katanya ketika berucap dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar menjelaskan bahawa keputusan untuk menyerahkan kepimpinan kepada Wan Azizah dibuat dalam keadaan terdesak, tanpa sumber kewangan mahupun jentera yang kukuh.

“Saya serahkan begitu saja, tiada dana, tiada jentera. Waktu itu tak ada siapa cakap pasal keluarga atau nepotisme. Saya hanya fikir siapa boleh pegang obor sementara saya dipenjara,” katanya.
Tambah Anwar, keputusan tersebut dibuat dalam masa yang singkat dan dia sendiri tidak menyangka tempoh “sementara” itu akan berlarutan selama bertahun-tahun.
“Saya dalam kedudukan sangat goyah, hanya ada beberapa jam atau hari sebelum masuk penjara. Kami semua sangka ia hanya beberapa bulan, tetapi rupanya bertahun,” kata Anwar.
Anwar turut berkongsi kisah anaknya, Nurul Izzah Anwar yang terpaksa meninggalkan universiti untuk menyertai perjuangan parti pada usia muda.

“Izzah dalam situasi itu terpaksa tinggalkan universiti dan digerakkan sebagai orang dewasa. Tapi masa tu, saya tak pernah dengar orang sebut nepotisme,” katanya.
Anwar menegaskan bahawa pemilihan Nurul Izzah sebagai pemimpin parti adalah keputusan ahli, bukan atas kehendak dirinya.
“Azizah, ya, saya pilih masa itu. Tapi Izzah, saudara-saudara yang pilih. Jadi teruskan kerja,” ujarnya.
Kenyataan ini hadir sebagai penjelasan terhadap sindiran atau kritikan sesetengah pihak yang mempersoalkan penglibatan ahli keluarganya dalam struktur kepimpinan PKR.
Selain itu, Anwar turut menyeru agar isu seperti itu tidak terus diperbesarkan oleh ahli parti yang menurutnya sepatutnya lebih memahami sejarah dan pengorbanan yang telah dibuat.
Nurul Izzah Anwar secara rasmi menang perebutan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan PKR, menewaskan penyandangnya, Rafizi Ramli.
Keputusan itu diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti Dr Zaliha Mustafa dan disambut dengan sorakan “reformasi” di Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada malam tadi.
Nurul Izzah yang membawa tema ‘Damai’ dalam kempennya memperoleh 9,803 undi, manakala Rafizi yang membawa tema kempen ‘Hiruk’ meraih 3,866 undi.
Terdapat kira-kira 15,000 perwakilan yang mengundi secara fizikal dan dalam talian dalam pemilihan kali ini.

