malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Biro Politik PKR bermesyuarat bincang PRN Sabah minggu depan
ADS

KONGRES PKR | PKR dijangka mengadakan mesyuarat khas biro politiknya pada 29 Mei ini khusus untuk membincangkan persiapan parti itu menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, berkata mesyuarat itu akan diadakan sebaik sahaja mesyuarat pemimpin Asean – yang sedang berlangsung di Kuala Lumpur – selesai.

Anwar yang juga perdana menteri berkata perbincangan itu akan menumpukan perhatian kepada pengagihan kerusi serta strategi kerjasama dengan rakan gabungan serta kerajaan negeri.

“Mungkin 29 haribulan kita akan adakan mesyuarat khas biro politik untuk PRN Sabah.

“Saya jamin bahawa PKR dan PH harus dapat kerusi yang munasabah untuk kita bertempur,” katanya dalam ucapan penggulungan di Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru hari ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata perbincangan telah diadakan dengan Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, serta Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor bagi memastikan kerjasama yang lebih tersusun dapat diwujudkan menjelang PRN tersebut.

Pun begitu Anwar memberitahu perbincangan berkenaan perlukan terarah kepada pengiktirafan terhadap usaha PKR dan PH serta menyeluruh melibatkan semua parti komponen dalam kerajaan perpaduan.

“Tujuannya ialah supaya kita diberikan peluang untuk sama-sama bekerja membela nasib orang Sabah,” tegasnya.

Sementara itu, Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata parti itu menyasarkan untuk bertanding 13 kerusi DUN di Sabah.

Untuk memastikan sasaran itu berjaya dicapai, Nurul Izzah berkata, dia berharap Anwar dapat berunding dengan parti komponen dalam PH dan gabungan parti yang akan bekerjasama dalam pilihan raya negeri itu.

Sebelum ini, BN Sabah mengumumkan mereka akan bekerjasama dengan PH bagi menghadapi PRN ke-17.

DUN Sabah mempunyai 73 kerusi yang bakal menjadi rebutan parti bertanding. Sebelum ini PKR hanya memenangi dua kerusi di negeri itu.

PRN Sabah dijangka diadakan pada bila-bila masa pada tahun ini susulan pentadbiran Ketua Menteri Hajiji Noor genap lima tahun pada Okt depan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen