Presiden PKR Anwar Ibrahim menzahirkan keyakinan bahawa kepimpinan baru akan mampu mengangkat keupayaan parti itu untuk menjadi lebih baik daripada apa yang pernah dicapai mereka.
Berucap di hadapan lebih 10,000 perwakilan di Kongres Nasional Tahunan PKR di Johor Bahru hari ini, perdana menteri menegaskan ada keperluan parti itu sebagai sebuah jemaah yang mempunyai pelbagai susuk dan ragam, untuk mempunyai tekad bersama untuk menjayakan apa yang direncanakan.
“Kalau tunjuk keretakan, ia tak akan berhasil. Parti tidak akan mampu kalau tak ada semangat kasih sayang, kepercayaan.
“Jadi saya nak nasihatkan (pemimpin) di cabang, negeri dan pusat, kita kena lepaskan pengalaman lama (selepas pemilihan),” kata beliau ketika menggulung perbahasan ucapan dasar presiden hari ini.
Kongres itu dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden Nurul Izzah Anwar, serta saf kepimpinan parti.
Anwar yang mengucapkan tahniah kepada barisan kepimpinan baru berkata bagi menguatkan parti, ia perlu merangkul semua kekuatan termasuk sokongan bekas Timbalan Presiden Rafizi Ramli dan bekas Naib Presiden Nik Nazmi Nik Ahmad yang selama ini telah memberikan sumbangan besar terhadap parti.
- Bernama

