malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Saya lega diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi'
Diterbitkan:  May 24, 2025 11:53 AM
Dikemaskini: 5:08 AM
ADS

Bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli menitipkan pesanan kepada penyokongnya susulan kekalahannya kepada Nurul Izzah Anwar untuk jawatan nombor dua parti itu malam tadi.

Dalam catatan di media sosial hari ini, Rafizi berkata dia tidak mahu meneruskan polemik mengenai keputusan pemilihan berkenaan, namun memahami rasa kecewa di kalangan ahli biasa parti itu.

"Sejak kempen bermula, saya mengambil pendekatan telus dan lantang dalam menyuarakan kebimbangan saya terhadap pelbagai isu: daripada perubahan kepada sistem pengundian satu ahli satu undi, kepada integriti sistem pengundian digital, sehinggalah kepada sikap sambil lewa dalam menyelesaikan isu-isu ini.

"Saya faham rasa kecewa dan putus asa di kalangan ahli biasa PKR dan penyokong. Kita memerlukan masa untuk pulih dari perasaan seolah-olah segala usaha dan dedikasi bertahun-tahun kepada idealisme PKR telah sia-sia.

"Saya juga manusia biasa, tidak terkecuali daripada rasa yang sama, walaupun seketika,” kata menteri ekonomi itu.

Kata Rafizi, hampir separuh usia dewasanya iaitu hampir 27 tahun dicurahkan kepada perjuangan - daripada menggerakkan kempen antarabangsa untuk membebaskan Anwar Ibrahim daripada penjara, menyertai kepimpinan awal Pemuda Keadilan, hinggalah menulis sebuah buku untuk menerangkan kes mahkamah Anwar kepada orang awam.

"Saya meninggalkan kerjaya korporat yang baik pada usia yang muda, atas permintaan Anwar, untuk menjadi Ketua Staf beliau di Pejabat Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

"Sehingga kini, saya telah mengharungi 16 kes mahkamah: 7 jenayah dan 9 saman sivil, kerana mendedahkan pelbagai skandal kewangan awam. Mungkin saya menghabiskan lebih banyak masa di mahkamah berbanding peguam biasa. Saya pernah dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun (ditangguhkan dan diganti dengan bon berkelakuan baik) di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana peranan saya dalam mendedahkan skandal 1MDB.

"Jujurnya, saya tidak langsung kecewa. Malah saya rasa agak lega kerana kini saya boleh kembali menjadi orang biasa, diselamatkan dari sandiwara kuasa dan politik kelas tinggi," katanya.

Malam tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa, mengesahkan kemenangan Nurul Izzah bagi jawatan timbalan presiden parti itu.

Nurul Izzah yang membawakan tema 'Damai' dalam kempennya memperoleh 9,803 undi, manakala Rafizi yang membawakan tema 'Hiruk' hanya memperoleh sebanyak 3,866 undi.

Menjelang pemilihan berkenaan, persaingan bagi merebut jawatan timbalan presiden PKR menjadi panas apabila kedua-dua kem saling mempertahankan kedua-dua tokoh berkenaan.

Penyokong Rafizi mendakwa penyertaan Nurul Izzah untuk merebut jawatan nombor dua dalam parti itu membuka ruang kepada amalan nepotisme memandangkan dia merupakan anak presiden PKR, yang juga perdana menteri.

Bagaimanapun Izzah sendiri menyanggah dakwaan itu dengan menegaskan dia berdiri atas usaha sendiri demi memperjuangkan cita-cita membina Malaysia yang lebih baik.

'Segalanya telah disusun'

Dalam kenyataannya, Rafizi berkata segala-galanya telah disusun untuk memastikan keputusan pemilihan tidak memihak kepadanya.

"Saya amat berbangga dengan ahli biasa PKR dan penyokong yang tetap teguh mempertahankan idealisme ini sepanjang kempen, walaupun segala-galanya telah disusun untuk tidak memihak kepada saya. Cita-cita reformasi sebenarnya masih ada harapan.

“Terima kasih atas ratusan mesej sokongan yang saya terima. Terima kasih juga kepada mereka yang mendoakan saya dan bersolat hajat. Saya sangat tersentuh apabila beberapa ahli muda parti menitiskan air mata semasa saya meninggalkan dewan, sambil merayu agar saya tidak meninggalkan PKR walaupun dilayan sedemikian rupa,” katanya.

Tambah Rafizi, dia tidak berniat untuk berputus asa dan lari daripada cita-cita idealisme selama ini.

“Setiap satu masalah ada pelbagai penyelesaiannya. Setiap satu rintangan ada banyak jalan pintasnya.

“Dengan lebih banyak masa yang ada, Insya Allah saya akan dapat meluangkan lebih banyak masa bersama rakyat biasa selepas ini.

“Dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya saya akan cuba membalas seberapa banyak mesej sokongan yang saya terima.

“Kepada mereka yang kecewa, kita mesti reda dengan ketetapan dan hikmah di sebaliknya. Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen