malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jangan ulang kesilapan lalu, kata PKR Perlis
Diterbitkan:  May 24, 2025 11:07 AM
Dikemaskini: 3:07 AM
ADS

KONGRES PKR | Perwakilan Perlis hari ini menyeru agar PKR tidak mengulangi kesilapan lalu yang membawa parti itu kepada perpecahan.

Berucap semasa membahaskan ucapan dasar presiden, Khalid Imran Mas Ahmad Nasruddin berkata selepas parti itu melangsungkan pemilihan yang menyaksikan kempen berjalan dengan panas, ahli mesti bersatu semula.

Dia yang juga Ketua Pemuda PKR Kangar berkata memang ada pihak yang menang dan ada yang kalah dalam pemilihan berakhir semalam, namun dalam perjuangan parti itu, mereka tidak boleh menang bersendirian.

“Mereka yang menang tidak boleh sombong, dan mereka yang kalah jangan berundur.

"Kedua-dua pihak mesti bersatu sebagai satu pasukan. Kita mesti memanfaatkan kekuatan bersama kita untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang," katanya.

Malam tadi, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa, mengesahkan kemenangan Nurul Izzah Izzah mengatasi penyandang jawatan timbalan presiden parti itu, Rafizi Ramli.

Menjelang pemilihan itu kedua-dua kem berusaha menarik sokongan perwakilan dalam kempen yang sengit dengan masing-masing membawa tema Hiruk dan Damai.

Di sebalik kekalahan Rafizi, kedatangan menteri ekonomi ke majlis perasmian kongres malam tadi disambut dengan laungan “Reformasi!” oleh perwakilan dan pemerhati. Rafizi memasuki dewan itu secara solo.

Kongres nasional itu diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, Johor Bahru.

Namun di sebalik kegagalan Rafizi mempertahankan jawatan timbalan presiden, dua daripada naib presiden yang berada dalam kemnya – Chang Lih Kang dan Aminuddin Harun – berjaya mengekalkan kedudukan masing-masing.

Dua lagi naib presiden yang berjaya terpilih ialah Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Ahli Parlimen Sungai Buloh R Ramanan.

Dalam perbahasannya hari ini, Khalid Imran turut mengingatkan PKR bahawa calon-calon yang kalah dalam pemilihan semalam juga merupakan tonggak dalam perjuangan parti.

"Janganlah kita mengetepikan mereka. Teruskan berfikiran terbuka dan beri ruang untuk pengalaman dan tenaga mereka yang masih bersemangat untuk berkhidmat.

“Janganlah kita mengulangi kesilapan lalu dengan membiarkan parti berpecah-belah kerana perbezaan pendapat,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen