malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Adun Warisan dakwa Azam 'sahkan' video skandal Sabah tulen
Diterbitkan:  May 24, 2025 9:56 AM
Dikemaskini: 1:56 AM
ADS

Seorang Adun Warisan di Sabah hari ini berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengesahkan – walapun bukan secara langsung – bahawa klip video terkait dakwaan skandal rasuah sejumlah wakil rakyat negeri itu adalah tulen.

Menurut Justin Wong, ‘mesej’ itu dapat dibaca melalui langkah SPRM mahu memanggil “semua orang yang terlibat” dalam klip video yang didedahkan oleh pembocor maklumat berkenaan.

Kata Adun Sri Tanjong itu lagi walaupun Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, tidak mendedahkan hasil laporan forensik ke atas pita video berkenaan, namun langkah diambil sekarang boleh dianggap sebagai pengesahan ia adalah tulen.

“Jika video-video tersebut adalah palsu atau disunting sudah tentu SPRM akan berhenti menyiasat dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai NFA (tiada tindakan lanjut) seperti amalan dan prosedur siasatan biasa.

“Sekiranya 10 video tersebut bukan tulen serta disahkan, kenapa kesemua YB (Adun) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terlibat dipanggil semula untuk disoal siasat?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Wong, dengan profesionalisme SPRM, dia yakin agensi antirasuah tersebut tidak akan membuang masa untuk menyiasat video palsu atau yang disunting jika mereka tidak mempunyai elemen dan bukti yang kukuh.

Kelmarin Malaysiakini melaporkan bahawa SPRM sudah menerima laporan forensik berkaitan klip video tular membabitkan dakwaan skandal rasuah di Sabah. Bagaimanapun kandungan laporan itu tidak didedahkan buat masa ini.

Menurut Azam, pihaknya sedang mengambil langkah susulan dengan memanggil semua individu yang berkaitan dalam video tersebut untuk memberi keterangan.

Katanya, individu yang dipanggil itu termasuk mereka yang berada di sebalik kamera.

"Arahan saya ialah mereka (pegawai penyiasat SPRM) perlu memanggil semua orang yang terlibat, sama ada dalam video atau mereka yang memegang kamera supaya kenyataan mereka dirakam, supaya kami boleh mengesahkan kandungan (video itu),” katanya.

Azam juga menegaskan pegawai SPRM diberi tempoh satu setengah bulan untuk melengkapkan siasatan mereka.

Menurut Wong berdasarkan kenyataan Azam, “rakyat Sabah” yakin 10 video yang didedahkan itu adalah tulen walaupun ia tidak disebut begitu oleh Azam secara langsung.

“Jangan lupa 10 video tersebut juga telah disemak dan dilihat oleh bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, dan dia yang menyerahkan bahan tersebut kepada SPRM pada 11 Mac lalu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen