malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Penganalisis kewangan diperdaya rugi hampir RM150,000
Diterbitkan:  May 24, 2025 9:40 AM
Dikemaskini: 1:40 AM
ADS

Seorang penganalisis kewangan berputih mata selepas wang simpanannya sebanyak RM147,350 lesap ditipu sindiket skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada Feb lalu lelaki berusia 42 tahun itu dikatakan melihat iklan pelaburan saham di Instagram.

Azli berkata mangsa membuka pautan pada iklan berkenaan dan dijemput menyertai kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada 125 ahli yang aktif berkomunikasi mengenai keadaan pasaran saham.

"Seorang daripada ahli kumpulan WhatsApp berkenaan mengaku bekerja untuk sebuah syarikat sekuriti dan pelaburan dari China.

“Suspek mengajak mangsa untuk menggunakan platform HTGIC bagi membuat pelaburan, tetapi perlu membuat transaksi wang ke beberapa akaun syarikat terlebih dahulu untuk proses jual beli saham.

"Suspek meyakinkan mangsa bahawa dia boleh memantau semua transaksi wang pelaburan dalam akaun syarikat menggunakan platform terbabit dan bebas menggunakannya untuk proses jual beli saham," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Azli mangsa yang terperdaya membuat 13 kali pindahan wang ke lima akaun bank berbeza berjumlah RM147,350.

Selain wang simpanan, mangsa juga telah membuat pinjaman daripada ibunya dan menggunakan wang milik syarikat untuk melabur.

"Mangsa membuat laporan polis pada jam 7.36 petang semalam kerana gagal mendapatkan keuntungan daripada pelaburan sehingga ke hari ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen