malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Anwar mahu bahagi masa antara bangunkan negara, perkukuh PKR
Diterbitkan:  May 23, 2025 10:59 PM
Dikemaskini: 3:17 PM
ADS

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji akan membahagikan masa dalam tugasan membangunkan negara dan pada masa sama memperkasa kekuatan PKR.

Presiden PKR itu berkata bermula Jun ini, dia akan memperuntukkan sehari dalam seminggu untuk menumpukan kepada kerja-kerja membina kekuatan parti termasuk di peringkat cabang.

Anwar berkata usaha itu termasuk bagi memantapkan hubungan dan kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan Madani.

“(Sebelum ini), saya terbeban dengan tanggungjawab baru (sebagai perdana menteri), saya nak negara ini bangkit jadi negara hebat.

“Cita-cita saya tinggi untuk melihat beberapa tahun lagi Malaysia ini jadi negara hebat, jadi saya terlalu tumpu pada urusan negara.

“Kepada MPP (Majlis Pimpinan Pusat PKR), saya mohon maaf kerana sepanjang hampir tiga tahun saya jadi perdana menteri, saya paling kurang ambil berat soal parti. Apakah ia keputusan wajar? Semestinya tidak,” katanya.

Anwar berkata demikian dalam ucapan dasar dan perasmian Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor di Johor Bahru malam ini.

Menyentuh mengenai pemilihan peringkat pusat PKR yang berlangsung hari ini, dia mahu ahli parti itu kembali ‘bertaut’ selepas proses berkenaan selesai malam ini.

“Saya ajak rakan-rakan, mari kita pupuk semangat, jangan andaikan yang menang itu menang semua, monopoli semua, yang kalah itu kalah terus, belajarlah daripada kelemahan, guna pengalaman kita, beri sumbangan sebaiknya (kepada parti),” katanya.

Dia turut menyeru seluruh ahli PKR agar kembali memperkukuh parti dan merangkul kekuatan yang ada untuk bergerak ke hadapan bersama-sama.

Pada masa sama, Anwar menasihati mereka agar lebih berhemah dalam berbicara selain tertib ketika melontarkan teguran.

Katanya, hubungan baik antara parti gabungan dalam Kerajaan Madani penting untuk diperkukuh.

“Negara akan rugi jika ada berlaku keretakan dalam hubungan parti di dalam gabungan ini,” katanya lagi.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen