Selepas lebih sedekad kematian tragik Teoh Beng Hock dijadikan sebagai modal politik, Presiden Gerakan Dominic Lau menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan PH agar mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga mendiang.
Lau menyuarakan kekesalan terhadap keputusan pihak berkuasa yang mengklasifikasikan siasatan semula kes kematian bekas pembantu khas kepada Adun DAP itu pada 2009 sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Dia menegaskan PH perlu memberikan penjelasan kepada keluarga Teoh dan seluruh rakyat Malaysia.
Menegaskan bahawa kebenaran di sebalik kematian Teoh mesti didedahkan, Lau mencadangkan penubuhan satu suruhanjaya bebas bagi menyemak semula siasatan polis terhadap kes tersebut.
“Kematian seorang rakyat tidak boleh ditutup tanpa jawapan yang adil. Tambahan pula, selain kes Teoh, terdapat kes seperti kehilangan Pastor Raymond Koh dan beberapa kes lain yang masih belum diselesaikan sehingga ke hari ini,” katanya.

Lau menyuarakan kekecewaan Gerakan terhadap perkembangan kes kematian Teoh, dan berkata selepas 15 tahun, keadilan masih belum ditegakkan.
“Malangnya, setiap kali menjelang pilihan raya, pemimpin PH hanya mempermainkan isu ini dengan janji palsu dan harapan kosong.
“Ini membuktikan sekali lagi bahawa laungan mereka mengenai reformasi institusi dan keadilan hanyalah retorik semata-mata,” katanya lagi.
Kata Lau lagi, adalah memalukan apabila PH gagal menunaikan komitmennya, walaupun setelah dua kali menjadi kerajaan.
“Ironinya, hanya apabila tiba musim pilihan raya atau kembali menjadi pembangkang, barulah mereka mengungkit kembali isu Teoh Beng Hock.”

Dia turut menyasarkan DAP dan menggesa pemimpinnya – termasuk bekas setiausaha agung Lim Guan Eng – untuk menilai semula ucapan dan janji mereka pada masa lalu berkenaan kes Teoh.
“Rakyat perlu membuka mata dan menilai wajah sebenar pemimpin PH. Adakah kerajaan yang gagal menunaikan janji layak untuk terus diberikan kepercayaan?
“Saya benar-benar berharap pemimpin PH dapat menyedari dan menyesali tindakan mereka. Dahulu mereka berkata, mereka bukan kerajaan, maka tidak mampu membela Teoh Beng Hock. Tetapi kini setelah menjadi kerajaan, keputusan yang dicapai amat mengecewakan dan amat menyakitkan hati keluarga Teoh.
“Jika janji yang dibuat sendiri oleh Perdana Menteri kepada keluarga Teoh pun boleh dimungkiri, maka siapakah lagi yang boleh rakyat percayai?” soalnya lagi.
Semalam, Jabatan Peguam Negara memaklumkan siasatan polis terhadap kematian Teoh tidak menemui bukti yang mencukupi untuk membuktikan salah laku mana-mana individu.

