malaysiakini logo
story-image
ADS

Penyandang timbalan presiden PKR Rafizi Ramli mengesahkan kehadirannya di acara perasmian kongres nasional parti itu malam ini, di tengah persaingan hangat dengan pencabarnya, Nurul Izzah Anwar.

Dengan tempoh tidak sampai sejam sebelum pemilihan berakhir, Rafizi tiba di Hotel Berjaya Waterfront untuk mengundi, mencetuskan kekecohan apabila dia dikelilingi wartawan yang ingin mendapatkan reaksinya.

“Saya akan hadir malam ini, esok pun saya akan hadir. Awat tak hadir pula?” katanya kepada wartawan.

Terdahulu hari ini, Presiden PKR Anwar Ibrahim - yang dijadual memberikan ucapan dasar - berkata dia menjangkakan Rafizi akan hadir di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada malam ini.

Perlu ada tertib

Mengulas ketidakhadirannya bagi merasmikan Kongres Angkatan Muda (AMK) dan Wanita PKR malam tadi, Rafizi menegaskan mana-mana organisasi bergantung kepada adab, proses dan prosedur.

“Jadi tidak adil untuk harapkan saya terima saja apabila semua proses dilanggar untuk mengetepikan saya, dan kemudian anda nak saya telan sahaja.

“Anda dengan jelas menunjukkan anda tidak hormat tertib, hierarki atau proses parti – dan anda terus melancarkan jentera Sabah secara tergesa-gesa,” katanya, merujuk kepada pelancaran jentera pilihan raya negeri Sabah oleh Nurul Izzah, yang turut dihadiri Menteri Besar Selangor merangkap Naib Presiden PKR Amirudin Shari.

Rafizi berkata, seseorang tidak boleh menggunakan peraturan berbeza untuk keadaan yang berbeza.

“Setiap tindakan ada akibatnya. Itulah yang saya rasa, dan saya percaya ramai ahli akar umbi turut berkongsi perasaan yang sama,” katanya yang juga pengarah pilihan raya PKR.

Pada malam tadi, Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh menggantikan Rafizi untuk menyampaikan ucapan perasmian, di mana dia mengingatkan para ahli agar tidak mensabotaj parti, sambil mengibaratkannya seperti kapal yang boleh karam.

Dalam sindiran terhadap Nurul Izzah dan Amirudin, Rafizi berkata dia berdepan serangan tidak beretika (low blow) apabila waktu pelancaran jentera tersebut bertembung dengan program kempen Hiruk yang dikendalikannya.

“Tidak adil untuk PKR Sabah. Hanya untuk memastikan acara bertembung, dengan harapan ahli PKR tak hadir acara saya.

“Itu satu tindakan tidak beretika…below the belt. Itu bukan budaya PKR,” katanya lagi.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen