malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Larangan ke Harvard: Tindakan Trump tak bertamadun - Saifuddin
Diterbitkan:  May 23, 2025 3:21 PM
Dikemaskini: 7:31 AM
ADS

Tindakan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump melarang Universiti Harvard menerima pelajar antarabangsa dibidas Pengerusi Portfolio Pendidikan PN, Saifuddin Abdullah.

Dalam satu kenyataan, Saifuddin menyifatkan larangan berkenaan sebagai perbuatan tidak bertamadun memandangkan universiti adalah institusi yang menghimpunkan pelajar dan minda terbaik daripada seluruh dunia.

"Tindakan Trump ini amat tidak bertamadun.

"Universiti adalah institusi ilmu yang menghayati budaya ilmu dengan prinsip kebenaran dan keadilan. Ia mengamalkan kebebasan akademik di kalangan pensyarah dan mahasiswanya, termasuk bersuara atas isu-isu kemasyarakatan tanpa ‘fear or favour’.

"Antara faktor kekuatan sebuah universiti ialah pertemuan dan kerjasama antara minda terbaik yang datang dari seluruh dunia yang berhimpun di situ untuk belajar, menyelidik, berbincang dan menerbitkan pelbagai karya,” katanya.

Saifuddin turut berharap Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) segera menghubungi pelajar-pelajar Malaysia di Universiti Harvard dan universiti lain untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Terdahulu, pentadbiran Trump dilapor membatalkan kemasukan pelajar antarabangsa ke Universiti Harvard.

Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri AS Kristi Noem berkata pensijilan Program Pelajar dan Pertukaran Pengunjung (Student and Exchange Visitor Programme) juga dibatalkan berkuat kuasa serta merta.

Menurutnya pentadbiran Trump bertindak demikian kerana Harvard didakwa “memupuk keganasan, antisemitisme serta bersekongkol dengan Parti Komunis China di kampusnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen