Sebuah mahkamah di Luxembourg mengarahkan bank swasta Edmond de Rothschild Europe membayar denda sebanyak €25 juta (kira-kira RM127 juta) dalam satu penyelesaian jenayah bersejarah atas pertuduhan pengubahan wang haram dan penyembunyian berkaitan skandal 1MDB.
Akhbar Luxembourg Times melaporkan keputusan mahkamah itu mencipta sejarah apabila kali pertama sebuah institusi perbankan di negara itu disabitkan kesalahan pengubahan wang haram.
“Ini kali pertama sebuah institusi perbankan di Luxembourg disabitkan kesalahan pengubahan wang haram,” kata mahkamah pada satu siaran media.
Siasatan antarabangsa terhadap skandal mega 1MDB – yang masih memberi kesan kepada landskap politik dan kewangan Malaysia – menganggarkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion (kira-kira RM16.8 bilion) diseleweng daripada dana milik kerajaan itu antara tahun 2009 hingga 2013.

Daripada jumlah tersebut, sekitar AS$472.5 juta (kira-kira RM2.2 bilion) telah dimasukkan ke dalam akaun di Edmond de Rothschild Europe, sebuah bank swasta berpangkalan di Luxembourg.
Luxembourg Times turut melaporkan bank itu mencapai persetujuan penyelesaian jenayah (judgement sur accord) dengan pendakwa raya awam Luxembourg pada awal tahun ini.
Di bawah persetujuan itu, bank tersebut mengakui peranannya dalam kesalahan pengubahan wang haram dan penyembunyian, serta bersetuju untuk membayar denda €25 juta (RM127 juta). Dana tersebut, yang telah disita lebih awal akan diserahkan kepada kerajaan Luxembourg.
Perjanjian itu dikemukakan pada 2 April dan secara rasmi diluluskan melalui keputusan mahkamah pada hari Khamis.
Mahkamah memutuskan “kesalahan pihak tertuduh telah terbukti dan hukuman yang ditetapkan dalam perjanjian penyelesaian adalah sah dan wajar,” menurut laporan berkenaan.
Dalam kenyataan kepada Luxembourg Times, bank berkenaan berkata mereka mengambil maklum keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Daerah Luxembourg berhubung prosiding jenayah berkaitan kes 1MDB, yang berpunca daripada kejadian yang berlaku sekitar 15 tahun lalu.
“Edmond de Rothschild Europe mengingatkan bahawa peristiwa bersejarah ini telah mendorong pelaksanaan pelan pemulihan menyeluruh yang dilancarkan pada 2016 dan disiapkan pada 2019.
"Kakitangan yang terlibat tidak lagi bersama organisasi ini.
“Bank telah memberi kerjasama sepenuhnya dan secara telus dengan pihak berkuasa sepanjang prosiding dan menyambut baik peluang untuk menutup bab ini secara muktamad.”
Walaupun keputusan ini menamatkan kes terhadap pihak bank itu sendiri, pihak berkuasa Luxembourg mengesahkan siasatan berkaitan skandal 1MDB masih berjalan. Siasatan terhadap empat orang pengarah dan kakitangan bank tersebut telah selesai dan pihak pendakwa sedang menyediakan pertuduhan rasmi.
Mahkamah turut memaklumkan bahawa siasatan berasingan terhadap pelanggan bank dan syarikat berkaitan masih “aktif dan diteruskan”.
Skandal 1MDB – yang sering dianggap sebagai salah satu penipuan kewangan terbesar dalam sejarah moden – terus membawa implikasi besar dari segi undang-undang dan politik di Malaysia serta di peringkat antarabangsa.
[Baca berita asal]

