malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Pejabat Rafizi tak pernah dikosongkan, hanya kemas untuk jamuan raya'
Diterbitkan:  May 23, 2025 9:37 AM
Dikemaskini: 1:58 AM
ADS

Seorang bekas pegawai di Kementerian Ekonomi menafikan dakwaan Nurul Izzah Anwar bahawa Rafizi Ramli berhasrat meletakkan jawatan sebelum mengambil cuti bulan lalu.

“Saya boleh sahkan pejabat Rafizi Ramli tidak pernah dikosongkan sewaktu beliau bercuti hari tu.

“Kalau nak screenshot status saya ni pun boleh,” kata Najib Bakar menerusi satu hantaran di Facebook.

Najib sebelum ini merupakan ketua komunikasi korporat di kementerian berkenaan sebelum meletakkan jawatan untuk bertanding dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Dalam hantarannya, Najib berkata pejabat Menteri Ekonomi hanya dikemaskan untuk majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Jelasnya, ramai anggota polis dari Cawangan Khas melawat kementerian tersebut pada 27 April lalu untuk menyemak maklumat bahawa Rafizi akan meletak jawatan.

“Tak tahulah depa dengar rumors dari mana, agaknya dari 'sumber tak dinamakan'.

"Ni ha, gambar jamuan raya pada tarikh tersebut. Semoga menjawab segala kekeliruan,” katanya dalam satu lagi hantaran.

Semalam Nurul Izzah berkata dia menerima maklumat Rafizi bukan sahaja mengambil cuti dan mengosongkan pejabatnya, malah turut menyediakan sepucuk surat peletakan jawatan.

Menurut Izzah, perkara ini berlaku susulan beberapa siri kekalahan di peringkat cabang yang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan Rafizi, serta pimpinan lain di peringkat akar umbi.

Izzah menjelaskan perkara inilah yang dikatakan mendorong anggota PKR untuk mendesaknya tampil dan bertanding jawatan timbalan presiden PKR.

"Memandangkan kemungkinan kekosongan kepimpinan ini menggusarkan ramai pihak terutamanya anggota dan pimpinan PKR, ada yang membuat seruan agar saya tampil menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden.

"Seruan ini telah disokong oleh 201 daripada 220 cabang parti. Hanya pada hari terakhir penamaan calon, saudara Rafizi mengumumkan pencalonannya, selepas saya telah menyambut seruan yang diberikan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen