malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
ULASAN | Liga M: Isu sistem atau pengurusan lemah?
ADS

ULASAN SUKAN | Sudah kira-kira sebulan isu tunggakan gaji pemain dalam Liga Super menjadi tumpuan komuniti bola sepak tanah air. Tambah perit, ada khabar yang segelintir pasukan elit mahu menarik diri.

Kedua-dua topik ini jelas terarah kepada soal kewangan tidak kukuh.

Tanpa elemen penting ini setiap perancangan akan terbantut. Kita pinjamkan saja ungkapan dari bahasa Inggeris yang berbunyi no money, no talk.

Mahu atau tidak, kemelut yang berpanjangan ini harus berakhir segera kerana ia bukan sekadar menyentuh martabat kita dalam mendukung sukan paling popular di negara bahkan Malaysia adalah antara pengasas sukan berkenaan di rantau Asia Tenggara.

Krisis ini tidak hanya menghimpit pemain, jurulatih dan pegawai pasukan, malah seluruh ekosistem bola sepak negara.

Ini adalah liga profesional dan rata-rata pihak yang terlibat bergantung kepada kelancaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). Ia menyentuh soal periuk nasi keluarga besar sukan ini.

Pelbagai komen dan reaksi sudah kita lihat menerusi laporan media. Ada yang berunsur kecaman dan tidak kurang juga cadangan positif diutarakan untuk menyelesaikan episod menyedihkan ini.

Siapa yang bersalah? Sistem bola sepak kita atau pun kelemahan ketara dalam aspek pengurusan setiap pasukan?

Jari turut dituding ke arah MFL yang dibentuk pada 2015. Selepas 10 tahun apa sebenarnya yang kita lihat? Objektif utama adalah transformasi bola sepak Malaysia untuk melangkah ke hadapan.

Sekarang, kita ke hadapan atau ke belakang?

Ada penaja yang lari

Amat merugikan jika pasukan elit seperti Kedah, Kelantan atau Sri Pahang, umpamanya, berhajat mahu menarik diri. Perak sudah pun mengesahkan status mereka.

Ada banyak ‘bicara panas’ boleh diutarakan jika masalah ini dikupas satu persatu.

Tetapi akhirnya apa yang lebih penting ialah semua pasukan harus mencari rumusan terbaik mengatasi masalah masing-masing. Selepas itu, kembali semula ke medan pertarungan bagi menyahut musim baru Liga Super.

Jika mahu masalah diselesaikan, usahakanlah dana yang mencukupi menerusi bantuan pihak penaja peringkat negeri. Cuba yakinkan mereka dengan pelan baru dan idea pemasaran yang lebih menarik.

Janganlah cuba melakukannya dengan sekadar menghantar e-mel dan minta wang.

Bukankah kebanyakan pasukan negeri atau kelab sudah memiliki kepakaran ketua pegawai eksekutif (CEO) masing-masing bagi tujuan ini? Gerakkan mereka untuk keluar mencari dana dan melunaskan hutang pemain serta juga jurulatih.

Tapi difahamkan, kebanyakan penaja ‘sudah lari’. Kenapa?

Masakan tidak. Jika kedudukan pasukan serba pincang dan lemah, tambahan pula jumlah penonton ke stadium yang makin susut setiap masa, bagaimana penaja mahu terus bertahan.

Mereka melihat tiada apa-apa tarikan lagi. Siapa mahu rugi dalam pelaburan.

Dalam konteks ini, mustahil ‘barah’ seperti ini berlaku andai pengurusan pasukan mantap dalam soal pentadbiran dan bijak menjaga kantung masing-masing.

Ingat, sekarang bukan seperti era emas masa lalu. Contohnya, FAM pernah ceria mendapat dana RM40 juta setiap tahun daripada syarikat Dunhill sekitar 1980-an dan 1990-an.

Difahamkan setiap pasukan negeri mendapat minimum RM1 juta bagi menjana kos perbelanjaan bulanan.

Tiada ruang tagih simpati

Kerajaan negeri juga sedia menyuntik bantuan tambahan. Ini kerana setiap menteri besar secara automatik dilantik sebagai presiden persatuan negeri. Ia sekadar memudahkan segala urusan, termasuk gaji pemain dibayar setiap bulan.

Apakah perlu syarikat rokok seperti ini kembali menjadi penaja rasmi? Mungkin ia boleh menyelamatkan liga profesional kita yang sentiasa dibayangi krisis kewangan sejak kita melangkah ke alaf baru.

Tetapi, sudah tentu ia adalah mustahil. Kerajaan memang tegas melarang pembabitan syarikat tembakau dalam sebarang pengiklanan sukan demi kesihatan rakyat keseluruhannya.

Justeru kita kena cari alternatif lain. Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Ada beberapa jalan lain untuk pasukan atau kelab bermasalah mendapatkan pihak luar sebagai penaja. Mungkin juga ada syarikat gergasi lain yang sama tarafnya seperti Dunhill.

Ingat, konsep liga bola sepak profesional sudah berbeza pada hari ini. Tidak ada lagi ruang cuba menagih simpati kecuali mengilhamkan penyelesaian sendiri.

Sepatutnya pada era moden ini, misi mencari dana harus lebih lancar, tambahan dengan kehadiran CEO kelab atau pasukan yang dianggap pakar. Tetapi difahamkan, situasi sebaliknya pula yang berlaku.

Kita nampaknya macam masih mengayuh ke belakang.

Bola sepak bukan seperti sukan-sukan lain. Di sini majoriti rakyat Malaysia menjiwainya sejak kecil. Maka boleh difahami  jika mereka itu menumpang sedih dengan perkembangan semasa.

Mungkin juga pemain yang dipalit derita akan mula belajar untuk mencari keseimbangan dalam kehidupan mereka. Harap mereka dapat membuka mata mencari kemahiran lain dengan satu back-up plan baru.

Maksudnya, mereka kekal bermain bola sepak dan pada masa sama membabitkan diri dalam bidang lain untuk mencari sumber pendapatan sampingan.

Difahamkan, ada juga sebilangan pemain sudah memulakan perniagaan kecil-kecilan sebagai jaminan selepas bersara nanti.

FAM juga secara tidak langsung boleh membantu menyediakan program back-up plan dan kaunseling, umpamanya, agar pemain tidak terus terpinggir jika membuat keputusan mahu menggantung but.

Sebagai ketua keluarga bola sepak, FAM harus bersama berkongsi episod pilu yang sedang ‘menggoncang’ masa depan pemain.

Jika dilihat dari sudut kebajikan pemain – yang sudah pun terpampang di depan mata pada saat ini – FAM jelas ada beban besar untuk digalas bagi memulihkan maruah liga profesional yang dibidankan mereka pada 2004.

Ibarat pepatah, ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. 


V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen