Beberapa jam sebelum berkempen untuk pemilihan kepimpinan pusat PKR berakhir, ketua penerangan parti itu, Fahmi Fadzil telah mengulangi tema "damai" yang menggariskan gesaan dibuat oleh kempen dibawa calon timbalan presiden, Nurul Izzah Anwar.
Beraksi di pentas di Johor Bahru pada perhimpunan terakhir Nurul Izzah sebelum pengundian dibuka jam 8 pagi esok, Fahmi bergambar dengan tanda peace, yang juga menandakan nombor calonnya untuk jawatan dalam majlis pimpinan pusat (MPP) parti.
“Saya dapat lihat apa yang telah kita lalui di peringkat cabang, semuanya berjalan dengan baik.
“Alhamdulillah kali ini tiada insiden baling kerusi, peti undi pecah, cubaan mensabotaj pengiraan undi, semuanya berjalan lancar,” kata Fahmi.
Dalam sindiran terhadap kempen pesaing Nurul Izzah yang juga penyandang kerusi nombor dua PKR, Rafizi Ramli, Fahmi berkata, satu-satunya kekesalan dialami ialah persaingan jawatan peringkat pusat kali ini ialah keadaan “hiruk-pikuk” sejak seminggu dua lalu.
Untuk rekod “Hiruk” adalah tema yang dibawa Rafizi dan kemnya. Ia merupakan kependekan kepada tema Hidupkan Idealisme Reformasi Dalam Ujian Kuasa.
"Tak perlu itu. Kita perlu tenangkan keadaan. Jadi atas semangat itu, satu-satunya permintaan saya, kita cuma mahukan kedamaian.
“Saya calon nombor dua. Peace!” kata Fahmi ceria.
Perhimpunan akhir Nurul Izzah petang tadi diadakan di sebuah hotel di tingkat 7 sebuah pusat beli-belah di Johor Bahru.
Lebih 1,000 perwakilan dan ahli duduk di sekitar pentas utama yang menjadi tempat calon bergilir-gilir naik untuk berkempen.
Fahmi duduk di barisan hadapan bersama Nurul Izzah dan pemimpin lain, termasuk Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin.
Kedua-dua mereka bertanding untuk jawatan naib presiden.
Pelbagai kain rentang yang memaparkan gambar calon-calon MPP juga dipasang di sekitar tempat tersebut, manakala sebahagian yang lain mengambil pendekatan lebih kreatif – mencetak nombor masing-masing pada belon.

