Nurul Izzah Anwar secara tidak langsung mengesahkan desas-desus bahawa Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, sebenarnya berniat untuk meletakkan jawatan ketika mengambil cuti bulan lalu.
Nurul Izzah berkata dia menerima maklumat Rafizi bukan sahaja mengambil cuti dan mengosongkan pejabatnya, malah turut menyediakan sepucuk surat perletakan jawatan.
“Tatkala saya menerima berita bahawa saudara Rafizi telah mengambil cuti dan telah mengosongkan pejabatnya, saya ketika itu masih berada di negara India bagi menghadiri jemputan sebuah persidangan antarabangsa.
"Kepimpinan parti turut dimaklumkan mengenai sepucuk surat perletakan jawatan yang telah pun disediakan.

Nurul Izzah menjelaskan perkara inilah yang dikatakan mendorong anggota PKR untuk mendesaknya tampil dan bertanding jawatan timbalan presiden PKR.
“Ketika itu, timbul kebimbangan bahawa beliau (Rafizi) mungkin tidak akan bertanding jawatan timbalan presiden sekaligus menambahkan keresahan tentang potensi kekosongan kepimpinan.
"Perkara ini berlaku susulan beberapa siri kekalahan di peringkat cabang yang melibatkan pimpinan yang sehaluan dengan saudara Rafizi, serta pimpinan lain di peringkat akar umbi.
"Memandangkan kemungkinan kekosongan kepimpinan ini menggusarkan ramai pihak terutamanya anggota dan pimpinan PKR, ada yang membuat seruan agar saya tampil menawarkan diri sebagai calon timbalan presiden.
"Seruan ini telah disokong oleh 201 daripada 220 cabang parti. Hanya pada hari terakhir penamaan calon, saudara Rafizi mengumumkan pencalonannya, selepas saya telah menyambut seruan yang diberikan,” katanya.
Hantaran Nurul Izzah di Facebook itu dimuat naik hanya beberapa jam sebelum tempoh berkempen bagi pemilihan kepimpinan pusat PKR tamat.
Berdasarkan catatan media sosial Nurul Izzah, dia berada di India pada penghujung April.
Tarikh ini selari dengan timbulnya khabar angin bahawa Rafizi mahu melepaskan jawatannya sebagai menteri ekoran rasa tidak puas hati terhadap dakwaan ketidaktelusan dalam pemilihan cabang PKR.
Namun perkara itu tidak berlaku. Sebaliknya, Rafizi bercuti buat sementara waktu dan kembali bertugas di Kementerian Ekonomi pada 6 Mei lalu.
Bagaimanapun, kedudukan Rafizi mungkin tidak kekal lama, memandangkan dia sebelum ini menyatakan kesediaan untuk meletak jawatan sebagai menteri sekiranya tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR kepada Nurul Izzah.
PKR mengadakan pemilihan esok bagi memilih barisan kepimpinan tertingginya, daripada jawatan timbalan presiden hingga ke Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Presiden parti, Anwar Ibrahim telah menang tanpa bertanding.
BACA BERKAITAN:

