malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'SG4 seperti lampu malap di dada Ultraman'
Diterbitkan:  May 22, 2025 7:30 PM
Dikemaskini: 11:30 AM
ADS

Amanah berpendapat tidak ada apa-apa yang signifikan mampu dicatatkan oleh SG4 (empat negeri dikuasai PN - Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis) setakat ini malah membuktikan kegagalan mereka menjadi kerajaan menanti.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, berkata selepas lebih 20 bulan berlalu, tidak ada sebarang pelaburan berjaya di bawah SG4 di sebalik pelbagai pengumuman mengenai kemasukan syarikat besar dari Korea Selatan, Jepun dan China.

Katanya sebelum ini kerajaan negeri terbabit mendakwa Putrajaya menghalang pelaburan yang berminat masuk ke sana namun ia tidak dapat dibuktikan.

"Seperti biasa, PAS masih bercakap seperti tin kosong.

"Ironinya, kerajaan Madani menerusi agensi persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) terus membawa masuk pelaburan asing ke dalam semua negeri, termasuk empat negeri pembangkang.

"Jika betul kerajaan Madani menghalang, mana mungkin Kedah boleh menjadi negeri penerima pelaburan diluluskan keempat terbesar pada 2024 sebanyak RM45.8 bilion," katanya dalam kenyataan hari ini.

Seperti biasa, menurut Faiz, PN menyalahkan pihak lain atas kegagalan sendiri.

Katanya, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Noor, mendakwa prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi (REE) sengaja dilewatkan oleh kerajaan persekutuan sehingga menghalang pelaburan ke dalam SG4.

Dakwaan itu, kata Faiz, sebenarnya tidak berasas kerana SOP berkenaan diluluskan oleh kerajaan dan dimaklumkan kepada negeri-negeri sejak Nov tahun lalu.

Dalam keadaan begitu pun, katanya, belum ada pelabur ke dalam sektor REE di SG4.

Tambah Faiz, selain tidak mampu meletakkan SG4 sebagai kerajaan menunggu, mereka juga gagal berperanan sebagai pembangkang berkaliber.

"SG4 semakin malap seperti lampu merah di dada Ultraman dan mereka mungkin perlu bergantung kepada keajaiban untuk bangkit.

"Ya, kisah SG4 ini serupa kisah Ultraman yang bersifat fiksyen dan delusi," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen