malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
SPRM kunci mulut, laporan forensik video skandal Sabah siap
ADS

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menerima laporan forensik berkaitan klip video yang tular membabitkan dakwaan skandal rasuah di Sabah.

Namun, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menegaskan kandungan laporan itu tidak dapat didedahkan buat masa ini.

Menurut Azam, pihaknya kini sedang mengambil langkah susulan dengan memanggil semua individu yang berkaitan dalam video tersebut untuk memberi keterangan, termasuk mereka yang dirakam mahupun yang berada di sebalik kamera.

“Kalau tak silap, laporan forensik telah dihantar kepada pegawai penyiasat kira-kira seminggu lalu.

"Arahan saya ialah mereka perlu memanggil semua orang yang terlibat, sama ada dalam video atau mereka yang memegang kamera, supaya kenyataan mereka dirakam supaya kami boleh mengesahkan kandungan (video itu).

"Saya tidak mahu komen buat masa ini kerana ia prejudis terhadap mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Menurut Azam, dia telah mengarahkan pegawai penyiasat kes tersebut untuk menyelesaikan siasatan mereka dalam tempoh satu bulan setengah.

Dalam jangka masa itu, mereka perlu meneliti laporan forensik, katanya dan menyerahkan dapatan siasatan kepada timbalan pendakwa raya.

Pada 11 Mac lalu, seorang pemberi maklumat yang dikenali sebagai Albert menyerahkan rakaman video yang memaparkan beberapa pemimpin negeri dan Adun Sabah yang didakwa terlibat dalam beberapa perbincangan berasingan mengenai sogokan berkaitan projek penerokaan mineral di negeri itu.

Lelaki tersebut tampil menyerahkan bukti yang didakwa dimilikinya selepas Azam bertegas dengan kenyataannya bahawa terdapat terlalu sedikit bukti dalam kes melibatkan dakwaan rasuah oleh beberapa Adun Sabah, termasuk yang turut mengaitkan Ketua Menteri Hajiji Noor.

[Baca berita asal]

[Berita penuh menyusul]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen