Bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob telah mengisytiharkan hartanya kepada SPRM, sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas dakwaan rasuah dalam kempen perhubungan awam Keluarga Malaysia bekas perdana menteri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata, suruhanjaya itu kini sedang bersiap untuk menyoal bekas menantunya, Jovian Mandagie yang kini di Indonesia.
Menurut, SPRM telah dimaklumkan bahawa Jovian kini sudah menetap di negara itu.

“Kita tidak boleh memaksa beliau (Jovian) datang ke sini sebaliknya kita kena pergi jumpa beliau di sana (Indonesia) memandangkan beliau sudah menjadi warganegara negara itu.
“IO (pegawai penyiasat) dalam proses atau telah dapat berhubung dengan beliau untuk rakam percakapan.
“Saya sudah meminta Pengarah Bahagian Perisikan SPRM, Zainal Darus untuk mempercepatkan proses ambil keterangan itu,” kata Azam pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Katanya, Jovian akan disoal siasat dalam tempoh seminggu dua ini sebagai sebahagian siasatan untuk mengesahkan beberapa aset yang diisytiharkan oleh Ismail Sabri.

“Kira-kira kes ini akan selesai siasatan pada akhir bulan Jun dan kemudian kita akan kemukakan kepada timbalan pendakwa raya untuk keputusan,” katanya.
Azam berkata rakaman percakapan itu adalah susulan arahan SPRM kepada Ismail Sabri untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Dia berkata sebanyak 57 individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan setakat ini.
Ismail Sabri mengisytiharkan sumber-sumber perolehan beliau pada 10 Feb lalu.

Pada 3 Mac lepas, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri adalah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah safe house susulan serbuan pihaknya.
SPRM juga dilaporkan menyita 13 akaun membabitkan nilai lebih RM2 juta bagi membantu siasatan kes berkenaan.

