malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Lanjut umur bersara hanya sukarkan golongan muda
Diterbitkan:  May 22, 2025 2:57 PM
Dikemaskini: 6:57 AM
ADS

Seorang pemimpin Pemuda Umno Malaysia menganggap cadangan menaikkan had umur persaraan kepada 65 tahun akan mewujudkan jurang dan menyukarkan generasi muda meningkat lebih jauh dalam kerjaya.

Menurut Hafiz Ariffin, menaikkan had usia persaraan itu bakal membuat golongan muda terpaksa menunggu dengan lebih lama untuk mendapatkan pekerjaan, bahkan mendorong mereka untuk bekerja di luar negara.

"Umur pengundi kita turunkan supaya lebih muda, tapi umur bersara pula nak ditambah supaya lebih tua. Apa mesej tersiratnya?

"Untuk undi kepentingan politik sanggup diturunkan, tapi untuk tenaga kerja, melibatkan pembangunan kerjaya, ruang itu ditutup. Akan wujud jurang yang besar.

"Berlambaklah golongan boomers di pejabat, generasi baru semua berlambak menunggu," katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hafiz Ariffin

Dia yang juga Setiausaha Pemuda Umno Malaysia bagaimanapun menegaskan pandangan yang diberikan itu bersifat peribadi.

Kata Hafiz jika cadangan itu diterima, akan ada ramai anak muda bekerja di luar negara dan mewujudkan pandangan melihat mereka sebagai tidak patriotik atau isu penghijrahan cendekiawan (brain drain).

Kekurangan tenaga muda untuk meningkat naik dalam kerjaya dan jawatan, tambahnya, akan menghalang mereka membawa idea baru dan segar.

"Sistem patut lebih muda dan progresif, ke depan, bukan regresif ke belakang. Ini pandangan peribadi saya," katanya.

Sempitkan peluang pekerja

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menaikkan umur persaraan wajib daripada 60 tahun kepada 65 tahun.

Azalina yang menyuarakan pandangan peribadinya berkata menjadi kerugian apabila individu diwajibkan bersara pada usia 60 tahun sedangkan mereka masih bertenaga dan produktif serta berupaya menyumbang kepada tenaga kerja.

“Mungkin kerajaan boleh pertimbang umur 65 tahun (persaraan). Ini pandangan peribadi saya, bukan pandangan kabinet.

"Ada pegawai yang kami temui masih muda (jiwanya) dan aktif. Cuma mereka dah capai umur (persaraan wajib) 60 tahun,” katanya.

Sementara itu, Srikandi Muda Bersatu berkata cadangan Azalina bukan sahaja tidak wajar, malah menunjukkan kerajaan gagal membaca denyut nadi rakyat.

Ketuanya, Nurul Ezzati Azmi, berkata kerajaan sepatutnya menyentuh tentang dasar-dasar yang melibatkan keperluan sebenar masyarakat hari ini.

"Ketika ramai anak muda masih menganggur dan graduan terus berdepan dengan ketidakpadanan kerja, kerajaan lebih sibuk mencadangkan dasar-dasar yang tidak menyentuh keperluan sebenar masyarakat hari ini.

"Dalam keadaan seperti ini, cadangan menaikkan umur persaraan hanya akan menyempitkan lagi peluang pekerjaan kepada golongan muda, termasuk wanita muda yang masih berusaha membina kehidupan dan kestabilan kewangan," katanya dalam kenyataan.

Jelas Nurul Ezzati, laporan Khazanah Research Institute mendedahkan lebih satu per tiga graduan negara ini memulakan kerjaya dalam bidang yang tidak sepadan dengan kelayakan akademik mereka.

Bahkan, katanya, berada kekal dalam keadaan tersebut untuk tempoh yang lama yang membawa kepada pembaziran potensi disebabkan kegagalan struktur ekonomi untuk menjana pekerjaan berkualiti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen