malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Senarai 'cai': Tiada aduan rasmi terhadap Rafizi, kata Biro Aduan PKR
ADS

Biro aduan PKR mengesahkan tiada aduan rasmi dibuat terhadap timbalan presiden, Rafizi Ramli, berhubung penyebaran senarai “cai” atau panduan undi yang dikeluarkannya menjelang pemilihan parti.

"Tiada aduan," kata ketua biro aduan PKR, Ahmad Kassim, dalam sidang media di Persada Johor International Convention Centre hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PKR, Dr Zaliha Mustafa, Setiausaha Agung Fuziah Salleh, dan Pengarah Komunikasi Fahmi Fadzil.

“Setakat ini, biro aduan tak terima apa-apa aduan rasmi. Cuma ada aduan dalaman,” tambah Zaliha.

Dia menjawab soalan tentang sama ada Rafizi telah dilaporkan kerana mengeluarkan senarai calon yang menyokong kemnya.

Senarai itu termasuk calon naib presiden, sayap Pemuda, Wanita dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP), yang mencabar kumpulan yang menyokong lawannya, Nurul Izzah Anwar.

Peraturan melarang panduan undi ini dikeluarkan untuk memastikan keadilan, memandangkan parti itu pernah berdepan isu perpecahan dalaman sebelum ini.

Zaliha menjelaskan, Majlis Pimpinan Pusat telah menetapkan proses untuk urus aduan.

“Kalau ada aduan, jawatankuasa pemilihan boleh beri amaran, kemudian amaran keras. Kalau masih tiada tindakan, ia akan dibawa ke Lembaga Disiplin,” katanya.

Dia juga memaklumkan beberapa kain rentang kempen yang diletakkan berhampiran pusat pengundian telah diarahkan untuk diturunkan kerana melanggar etika kempen.

Sebanyak 251 calon bertanding dalam pemilihan kali ini, melibatkan jawatan utama serta sayap Wanita dan Pemuda.

Seramai 32,030 perwakilan dari 222 cabang akan mengundi secara dalam talian atau hadir ke pusat mengundi di Johor Bahru, Sabah, dan Sarawak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen