Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia (Hakam) hari ini mempersoalkan keengganan kerajaan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan tiga tokoh utama dalam institusi kehakiman negara yang bakal bersara dalam masa terdekat.
Mereka yang dimaksudkan ialah Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Mahkamah Persekutuan DP Nallini.

Ketiga-tiga tokoh ini akan mencecah usia persaraan mandatori 66 tahun tidak lama lagi — Tengku Maimun dan Abang Iskandar pada bulan Julai, manakala Nallini pada bulan Ogos — tetapi hingga kini masih belum menerima lanjutan perkhidmatan seperti yang lazim diberikan kepada pendahulu mereka.
Presiden Hakam, M Ramachelvam, berkata tindakan berdiam diri pihak kerajaan menimbulkan persoalan besar terhadap komitmen mereka dalam menjamin kebebasan badan kehakiman negara.
“Apa kriteria sebenar yang digunakan? Mengapa ada hakim yang disambung perkhidmatan, tetapi tiga individu paling senior dalam institusi kehakiman pula disisih?” soalnya dalam kenyataan media hari ini.
Integriti badan kehakiman di hujung tanduk
Mengikut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, hakim Mahkamah Persekutuan boleh diberikan lanjutan perkhidmatan selama enam bulan selepas mencecah umur 66 tahun, dengan kelulusan dan pekenan Yang di-Pertuan Agong.
Sebelum ini, lanjutan itu telah diberikan kepada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebli, Hakim Besar Malaya Hasnah Mohammed Hashim, serta beberapa hakim Mahkamah Persekutuan lain yang antara mereka termasuk Harmindar Singh Dhaliwal, Zabariah Mohd Yusof dan Hanipah Farikullah.

Namun, tiada lanjutan diberikan kepada Tengku Maimun, Abang Iskandar dan Nallini - satu langkah yang dilihat sebagai bercanggah dengan amalan sebelum ini.
“Pendekatan berat sebelah ini menimbulkan tanda tanya besar terhadap ketelusan dan keadilan pelaksanaan Perkara 125(1).
“Ia juga menggugat kepercayaan rakyat terhadap badan kehakiman pada saat negara sedang melalui fasa peralihan yang penting,” tegas Ramachelvam.
Ketua hakim wanita pertama – simbol reformasi yang disisih?
Sebagai wanita pertama yang menjawat jawatan Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun dilihat sebagai tonggak utama dalam memulihkan imej badan kehakiman pasca krisis perlembagaan 1988.
Dia juga dikenali kerana ketegasan dan keadilan dalam mengendalikan kes-kes berprofil tinggi sepanjang berkhidmat di bawah empat perdana menteri berbeza.

“Di bawah kepimpinan beliau, kita menyaksikan kebangkitan semula intelektualiti dan integriti mahkamah – satu era yang disifatkan ramai sebagai ‘kebangkitan semula kehakiman’,” kata Ramachelvam.
Abang Iskandar dan Nallini turut dipuji kerana ketokohan mereka dalam bidang perundangan, keberanian menegakkan prinsip perlembagaan, dan integriti tanpa kompromi.
Hakam tuntut reformasi sistem pelantikan dan lanjutan kehakiman
Sehubungan itu, Hakam menggesa Putrajaya agar segera melanjutkan perkhidmatan ketiga-tiga tokoh ini, sambil mendesak supaya proses pelantikan dan lanjutan hakim Mahkamah Persekutuan ditetapkan mengikut kriteria jelas, telus, dan berasaskan merit serta kestabilan institusi, dan bukannya melalui campur tangan politik.

“Negara tidak mampu kehilangan pengalaman dan kebijaksanaan institusi yang mereka bawa, lebih-lebih lagi ketika hampir sepuluh hakim Mahkamah Persekutuan dijangka bersara tahun ini,” katanya.
Ramachelvam turut memberi amaran bahawa tindakan tidak konsisten dalam pelantikan hakim boleh menjejaskan keyakinan rakyat, komuniti perniagaan, serta pelabur terhadap sistem kehakiman negara.
Dalam laporan oleh The Edge semalam, Tengku Maimun sendiri mengakui bahawa dirinya, Abang Iskandar dan Nallini masih belum menerima sebarang makluman rasmi mengenai lanjutan perkhidmatan mereka.
“Saya rasa saya tak patut jawab soalan itu… kita tunggu sajalah. Mungkin akan datang (tawaran lanjutan), tetapi buat masa ini, belum ada apa-apa,” katanya ringkas.

