Kerajaan Madani dilihat terburu-buru dalam membentangkan RUU Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) tanpa memperjelaskan implikasi yang bersangkut dengannya.
Parti Pejuang Tanah Air menyanggah kritikan yang dilontarkan oleh wakil-wakil Madani ke arah mereka yang mempersoal keperluan atau intipati RUU itu sendiri.
Perdana menteri, menteri perumahan dan kerajaan tempatan, dan anggota-anggota parlimen blok kerajaan nampaknya lebih gemar melabel pengkritik URA sebagai antipemodenan atau antikemajuan orang Melayu. Ujar mereka, kumpulan pengkritik ini hanya menggunakan sentimen perkauman.
Walhal hakikatnya, Pejuang tidak menolak sebarang jenis pemodenan, pembaharuan, atau penambahbaikan. Syaratnya, ia mestilah menurut lunas undang-undang tanpa menafikan hak rakyat tanpa mengira kaum, ras, atau latar belakang.
Kegusaran Pejuang kini terbukti mempunyai asas, lebih-lebih lagi jika dilihat pada draf RUU yang dikeluarkan pada 26 Nov 2024. Ia harus ditolak jika tiada pindaan pada RUU itu dibuat.
Jika dilihat pada draf RUU sedia ada, kawasan di mana ia akan berkuat kuasa mencakupi keseluruhan negara (kecuali Sabah dan Sarawak). Pembaharuan semua bandar boleh dikenakan ke kawasan bandar yang penduduknya melebihi 10,000 dan/atau kawasan pusat pentadbiran daerah yang penduduknya kurang dari 10,000.
Ini bermakna semua kawasan perumahan yang lama akan tertakluk bawah URA. Ia juga seolah-olah satu mekanisme yang akan menguntungkan pemaju semata-mata, tanpa perlu memberi pertimbangan kepada kepentingan penduduk asal.
Definisi skop pembaharuan semula bandar pula terlalu luas. Bukan sahaja pembaikan fizikal (yang dicanang-canangkan) tetapi juga penukaran kategori tanah, pecah bahagian, pecah sempadan, pencantuman tanah, bangunan, dan tanah yang dipecah bahagi. Tidakkah PMX dan menteri berkata ia penambahbaikan sahaja?
Ambang persetujuan bagi mana-mana aktiviti di bawah URA kini tidak lagi 100 peratus dari pemilik atau penduduk. Maksudnya, pemaju yang dipilih tidak perlu mendapatkan persetujuan 100 peratus penduduk sedia ada untuk membuat apa-apa keputusan sebelum melaksanakan pembaharuan.
Bagi bangunan 30 tahun, ambangnya adalah 80 peratus; bagi lebih dari 30 tahun, ambangnya adalah 75 peratus; manakala bagi bangunan terbengkalai, ianya 51 peratus. Bagaimana pula kalau ada pihak yang tidak setuju dan mahu pertahankan hak mereka? Tiada mekanisme perundangan yang disediakan di bawah URA untuk pihak-pihak tersebut.
Dilindungi URA, pemaju boleh memaksa pemilik hartanah itu untuk menurut keputusan majoriti. Ini bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak pemilik hartanah yang sah.
Memang tak mahu lihat bangunan lusuh, tapi…
RUU URA ini juga mestilah tidak melanggar dasar-dasar pemilikan dan/atau hak pemilik di bawah Perlembagaan Persekutuan. Tidak boleh ada paksaan kecuali melalui pampasan yang adil. RUU URA tidak boleh bercanggah dengan konsep yang mendasari perlembagaan negara kita.
URA juga memberikan kerajaan kuasa untuk melantik dua orang yang mempunyai "pengetahuan dan pengalaman berkaitan" dalam Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan, yang melaksanakan fungsi bawah URA. Adakah ini juga jalan untuk membenarkan pemaju-pemaju atau wakil mereka mempengaruhi keputusan Kerajaan?
Pembaharuan dan pemodenan itu penting. Pejuang tidak sekali-kali mahu lihat bangunan di Malaysia ini lusuh dan lekeh. Tetapi apa jaminan bahawa rakyat kebanyakan, khususnya orang Melayu, akan dapat kekal berada di tempat tinggal mereka sekiranya pembaharuan ini membawa kepada bebanan kos kehidupan akibat URA?
Pejuang menyarankan agar apa-apa pembaharuan tidak membawa kepada gentrifikasi. Janganlah kerana URA, orang biasa, marhaen, miskin dihambat jauh ke pinggir. Perlu ada mekanisme jelas yang memastikan kawasan-kawasan kota dan bandar-bandar didiami oleh pelbagai lapisan masyarakat agar identiti Malaysia itu tidak dilarut arus pemodenan.
Contohnya, Old Havana di negara Cuba diperbaharui tanpa mengganggu keunikan kota lama itu agar ia kekal abadi sehingga menjadi tarikan pelancong tanpa perlu diusir penduduk asalnya.
Pejuang menyarankan agar Kerajaan Madani mempertimbangkan keperluan untuk memasukkan instrumen Reit dalam RUU URA agar kawasan-kawasan ingin diperbaharui ini menjana keuntungan pada pemilik asal.
Antara perkara yang boleh dipertimbangkan juga adalah saranan bijak Dr Mahathir Mohamad untuk kawasan-kawasan ini diperbaharui secara tujuan pelbagai. Bawah kawasan flat-flat yang ada kediaman, dibina concept store atau ruang perniagaan untuk menjana pendapatan penduduk asalnya.
Pejuang melihat suatu RUU itu tidak boleh diluluskan tergesa-gesa. Perlu ada sesi libat urus dengan semua pemegang taruh, terutamanya rakyat kebanyakan.
Bagi tujuan ini, adalah suatu hujah yang dangkal dan lemah apabila RUU ini dikaitkan dengan orang Melayu sahaja. Ia bakal memberi impak secara menyeluruh kepada segenap rakyat berbilang kaum.
Pejuang mendesak dan mencabar Madani agar satu referendum rakyat dibuat sebelum URA dibentang dan dibahas.
Hendak seribu daya.
MUKHRIZ MAHATHIR ialah presiden Pejuang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

