Adun Warisan, Calvin Chong menggesa pengundi di Sabah supaya menolak parti-parti politik dari Semenanjung Malaysia demi memastikan hak autonomi seperti yang dinikmati Sarawak dapat diperoleh.
Dalam satu kenyataan hari ini, Adun Elopura itu merujuk kepada deklarasi kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), sambil mengucapkan tahniah kepada Sarawak atas kejayaan mendapatkan semula hak ke atas sumber minyak dan gas seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Rakyat Sabah harus sedar dan berwaspada untuk membuat keputusan pada PRN Ke-17 akan datang tidak lama lagi “Say no to parties Malaya” supaya Sabah akan menjadi lebih makmur dan maju, pilihan kita adalah demi generasi kita yang akan datang," kata Chong.
Dalam kenyataannya, Chong berkata rakyat Sabah tertanya-tanya apa pencapaian Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor selama lima tahun pentadbirannya sejak 2020 hingga sekarang.
"Rakyat Sabah ingin tahu apa yang telah berjaya dituntut oleh Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) daripada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara yang termaktub dalam MA63?"soalnya.
Chong mendakwa pencapaian bersejarah yang dilakukan oleh Hajiji Noor dalam tempoh itu adalah mencipta skandal rasuah terbesar dalam sejarah Sabah iaitu kegiatan rasuah lesen penerokaan mineral yang melibatkan dirinya sendiri, Speaker DUN dan sembilan Adun GRS.

"Bayangkan sekumpulan ahli politik berjumlah 10 orang disapa sebagai Yang Berhormat “YB” bersubahat melakukan kegiatan rasuah secara kolektif. Malaysia mempunyai 13 negeri, rakyat Malaysia hanya dapat melihat kejadian memalukan seperti ini boleh berlaku di Negeri Sabah.
"Saya percaya rakyat Sabah telah nampak faktor utama yang memajukan Sarawak secara ketara kerana tiada parti-parti politik daripada Malaya yang mengganggu pentadbiran dan perlaksanaan mereka.
“Kerajaan Negeri Sarawak dipimpin oleh parti-parti tempatan, mereka mempunyai kuasa autonomi untuk menguruskan negeri sendiri tanpa pengaruh daripada Malaya. justeru itu, pemimpin Malaya tidak mempunyai peluang untuk mengambil kesempatan ke atas Sarawak," tambahnya.

Chong turut menyeru agar rakyat Sabah menolak mana-mana parti tempatan yang bekerjasama dengan parti dari Semenanjung dalam pilihan raya negeri akan datang.
"Sehingga kini, hanya Parti Warisan telah mengesahkan bertanding PRN Ke-17 tanpa bekerjasama dengan mana-mana parti Malaya.
“Kami komited dengan perjuangan dan pentadbiran autonomi tanpa sebarang pengaruh dan gangguan daripada Malaya “Rumah kita, kunci kita pegang”," katanya.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Abang Johari Openg, menandatangani deklarasi tersebut di Perdana Putra.
Dalam sidang media bersama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perjanjian itu merupakan satu langkah ke hadapan dalam pembangunan negara dan negeri menerusi kerjasama antara Petronas dan Petros.
Bernama melaporkan bahawa Anwar menyatakan kerajaan berhasrat menjadikan Sarawak sebagai hab serantau bagi industri minyak dan gas di rantau Asean.
Anwar juga berkata kerjasama ini membolehkan Petronas meneruskan operasinya sambil mengiktiraf Petros sebagai pemain utama di Sarawak.

