malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dari jalanan ke Putrajaya, Adam Adli tak jadi orang berbeza
ADS

WAWANCARA | Melalui kitaran-kitaran yang berbeza, daripada seorang aktivis yang dikelilingi ratusan penyokong anak muda di jalanan suatu masa dulu, persekitaran semasa yang dekat dengan punca kuasa tidak mengubah Adam Adli Abdul Halim menjadi seorang yang berbeza pendiriannya.

Di sebalik kelantangan bersuara ketika tampil sebagai aktivis, timbalan menteri belia dan sukan itu memberi gambaran bahawa dia tidak pernah meninggalkan apa yang diperjuangkan sebelum ini.

Namun Adam Adli mengaku dia kurang menonjol khususnya di media sosial atau media massa, malah sesekali penampilannya kontradik dengan dirinya sebelum ini sehingga mengundang kritikan sesetengah pihak.

"Saya kurang (tonjolkan diri), saya ada sikap kalau tak ditanya saya tak nak jawab ataupun kalau tak ditanya saya tak perlu nak sentuh, kecuali memang dalam isu-isu yang sangat penting.

"Tapi saya benar-benar fikirkan dari sudut strategi dan pendekatan kita dalam media massa dan sebagainya perlu pendekatan yang berbeza.

"Saya tidak bercakap hanya media sosial, saya bercakap soal keseluruhan komunikasi kita," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini di Petaling Jaya, kelmarin.

Berada dalam sistem yang mengurus tadbir perjalanan kerajaan, Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya itu berkata, ruang, pendekatan dan perspektif berbeza diperlukan dalam menangani isu-isu yang pernah dibangkitkan.

"Kalau kita dahulu sebagai kuasa pelajar kita desak banyak perkara yang berkaitan, contohnya isu pendidikan percuma, yang berkaitan dengan Akta Kolej dan Universiti (Auku).

“Apabila bila kita duduk di Putrajaya prosesnya jauh berbeza, ia bukan sekadar kita menyuarakan atau kita mendesak.

"Jangan kerana kita duduk di satu posisi yang jauh lebih tinggi dan kita berada jauh lebih dekat dengan punca kuasa, kita merasakan bahawa suara kita hanya akan semakin didengari.

“Sebaliknya, ia mula meletakkan diri kita dalam satu kitaran yang sangat-sangat berbeza. Kita harus mula melibatkan diri dalam proses-proses ini. Tiap dasar yang diperkenalkan, diamal atau dipraktikkan oleh kerajaan.

"Tak kira apa kerajaan sekali pun, sentiasa ada mekanisme dan ekosistemnya sendiri. Ia akan sentiasa ada alasan dan justifikasi.

“Kita ada perspektif kita, namun sistem itu sendiri ada perspektif lain. Jadi ia adalah posisi yang sukar dan sangat berbeza," katanya.

Perlu sesuaikan diri

Dia yang juga Ketua Pemuda PKR berkata demikian ketika diminta mengulas perjalanan karier politiknya yang bermula sebagai aktivis mahasiswa dan kini menjadi sebahagian nadi pentadbiran negara.

Mengulas lanjut Adam Adli, 35, mengakui ada sedikit krisis dialami kerana merasakan dirinya sebahagian daripada permasalahan yang sedang berlaku dan sebagai kuasa pendesak.

Katanya, dalam dunia aktivisme ia bermula daripada penyataan masalah, pendesak dan juga sebagai kumpulan advokasi yang mencadangkan satu-satu pembaharuan terhadap dasar dan sebagainya.

"Bergantunglah pada apa isu yang kita kemukakan, kemudian kita masuk dunia politik iaitu satu kitaran yang sangat berbeza, kita berada dalam satu situasi yang mana kalau kita nak capai satu-satu matlamat.

"Contohnya kalau kita ambil semangat dan cita-cita daripada dunia aktivisme terbawa kepada dunia politik termasuk hari ini sebagai kerajaan, lain.

"Bagaimana kita perlu menyesuaikan diri, bagaimana memposisikan diri kita sedikit sebanyak sebagai orang yang masih mendesak perkara yang kita perjuangkan dahulu.

"Pada masa yang sama kita juga sebahagian daripada sistem yang harus kita akui sebagai kerangka besar yang akan sentiasa jadi sedikit sebanyak... bukanlah penghalang tapi ia ada caranya tersendiri," katanya.

Mengulas situasi dihadapinya, Adam Adli memberikan contoh apabila kerajaan membincangkan Auku pada awal 2023, ketika itu dia mengambil tindakan bertemu dengan Menteri Pengajian Tinggi Khaled Nordin.

Katanya dalam pertemuan tersebut dan menyatakan “bantahan sedikit sebanyak” selain menegaskan rasa tidak setuju dengan apa yang ada.

Adam Adli juga mengakui keadaan itu adalah berbeza dengan keadaan dia mengadakan protes terbuka apabila ada ratusan yang lain di belakang sebagai pendukung.

Dan di situ dia ‘belajar’ sesuatu.

“Saya rasa itu lesson (pengajaran) yang pertama bagi saya. Jangan kerana kita dah berada satu posisi yang kita rasa kita dekat dengan punca kuasa, kita rasa kita akan lebih berkesan, sebab kita adalah sebahagian daripada pentadbiran.

"Kita dituntut untuk berunding dengan cara yang berbeza, memahami perspektif yang berbeza dan diterima dengan baik. Ada ruang-ruang yang diberi, ada pendapat yang diambil.

“Tapi tentu sekali ada yang kita perlu toleransi dan ada garisan yang kita mungkin perlu awasi, ambil kira jurang dan sempadan," jelasnya lagi.

Kriteria jadi jurucakap

Tambah anak kelahiran Butterworth, Pulau Pinang itu dia menyedari apa yang dilakukan setakat ini belum mencukupi dan memahami ketidakpuasan hati penyokong.

Bahkan, katanya, dia sendiri tidak berpuas hati dengan apa yang sedang dilakukannya setakat ini.

Namun, tambah Adam Adli, apa yang paling penting ialah hakikat bahawa kuasa dan kedudukan tidak mengubah dia menjadi orang yang berbeza.

"Mungkin ia mengubah kita untuk menjadi orang yang boleh ambil pendekatan yang lain sahaja. Cita-cita dan pendiriannya masih sama," ujarnya yang turut bertanding jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam pemilihan Jumaat ini.

Sementara itu ditanya perancangan sekiranya dipilih menjadi sebahagian daripada anggota MPP, Adam Adli berkata PKR perlu melihat dari sudut strategi dan pendekatan melalui media massa yang memerlukan sentuhan berbeza.


Baca: ‘Dulu Rafizi cetus gelombang sokongan, kali ini Nurul Izzah pula’


Jelasnya, ia bukan hanya melibatkan media sosial tetapi secara keseluruhan komunikasi parti.

"Kita (PKR) ada sektor-sektor masyarakat yang sebenarnya kita pernah santuni dan pernah betul-betul dapat yakini dahulu. Tapi mungkin kita ikut arus peredaran zaman, kita mula sesuaikan diri dengan media sosial.

“Dalam dunia digital ini kita tertinggal banyak, kita tertinggal sedikit sektor masyarakat yang mungkin selama ini kita wakili.

"Saya bukan cakap soal saya, tetapi keseluruhan organisasi parti. Contohnya kadang-kadang kita kena pastikan seorang jurucakap, walaupun kita rasa semua orang nak jadi jurucakap sebab muka akan muncul setiap masa di media,” katanya.

Menurut Adam Adli, seseorang “jurucakap” itu perlu tampil jika ia membantu PKR namun wajar bertindak sebaliknya jika ia tidak memberi nilai tambah kepada parti, walau sepopular mana pun individu terbabit.

"Bagi saya, kalau saya tak ada jawapan yang baik, sebaiknya jangan 'tambah lauk' bagi orang ramai atau netizen dan sebagainya (serang)," katanya lagi.

Justeru menurut Adam Adli, parti perlu benar-benar memahami sentimen semasa, membuat kajian dan menggunakan pendekatan-pendekatan berbeza.

“Kita tidak boleh semudah itu menjadi penceramah, bercakap tentang segala-galanya.

“Saya fikir kita harus sangat tepat, sangat jelas dan sangat terancang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen