Pada 15 Mei yang lepas adalah Hari Nakba – hari Malapetaka yang ke-77 untuk warga Palestin. Pada 14 Mei 1948 – 77 tahun dahulu Israel didirikan di bumi Palestin. Semenjak wujudnya Israel, dunia Arab – wilayah Timur Tengah – tidak pernah aman.
Perang Arab-Israel berlaku pada tahun 1948, 1956, 1967, 1973, 1982, 2006, 2023 hingga ke hari ini. Mesir, Jordan, Syria, Iraq dan Lebanon semuanya telah diserang oleh Israel.
Pada hari ini, Mesir, Jordan dan Iraq telah lama berjaya dimandulkan oleh Zionis Israel. Pada 8 Disember 2024 yang baru berlalu, kerajaan Syria bawah pimpinan nasionalis Bashar al-Assad runtuh. Kini Syria bawah kerajaan Hayat Tahrir Al-Sham (HTS) - anak syarikat Al-Qaeda.
Syria bukan saja dimandulkan, malah beberapa wilayah Syria kini diduduki oleh Israel.
Kewujudan Israel ini adalah projek penjajahan. Israel ialah penjajah yang diwujudkan oleh kuasa imperial Barat. Israel ialah sebuah ‘settler state’ atau Negeri Peneroka.
Negeri peneroka merujuk kepada negeri, atau wilayah yang ditadbir sebagai negeri, di mana sebilangan besar penduduk adalah peneroka, selalunya dari negara lain, dan yang menggantikan atau meminggirkan penduduk asli. Peneroka ini biasanya datang dengan matlamat untuk menubuhkan penempatan kekal dan selalunya dengan niat untuk mewujudkan masyarakat dan budaya yang berbeza ketara daripada budaya Bumiputera yang sedia ada. Proses ini selalunya dikaitkan dengan penjajahan.
Contoh terbaik ialah Australia, Kanada, New Zealand, Amerika dan Singapura. Malah di Malaysia hari ini, jika Bani Melayu tersilap berpolitik seperti di Singapura, maka Pulau Pinang dan mungkin juga Tanah Melayu Semenanjung ini akan menjadi ‘settler state’.
Israel pada awalnya disokong kuat oleh kuasa kolonial Inggeris. Ini ketika Inggeris menjadi kuasa dunia sebelum peranan ini diambil alih oleh Amerika.
Malah jangan lupa sejarah Tanah Melayu dengan Israel. Pada satu ketika dahulu, tim bola Israel pernah datang bermain bola untuk merebut Piala Merdeka di Kuala Lumpur. Ini ketika Persekutuan Tanah Melayu dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman.
Malah Dr Mahathir Mohamad juga pernah bermain mata dengan Zionis Israel.
Pada 21 Mac 1997, pasukan kriket Israel dibenarkan menyertai pertandingan bertaraf antarabangsa itu di Kuala Lumpur. Kebenaran itu diberikan oleh Perdana Menteri Mahathir atas semangat kesukanan. Mereka hadir dalam Kejohanan Kriket Trofi Majlis Kriket Antarabangsa (ICC).
Semua ini bukti kekuatan negara kecil bernama Israel. Dari mana datangnya kekuasaan Israel ini?
Pangkalan kuasa imperialis
Telah beberapa kali saya menuliskan dan menyatakan bahawa Israel ini ialah pangkalan tentera untuk kuasa imperialis. Awalnya untuk kuasa imperial Inggeris, kini Israel adalah pangkalan untuk kuasa imperialis Amerika.
Peranan Israel sama seperti peranan yang dimainkan oleh pangkalan tentera Amerika di Guam, di Okinawa, di Filipina, di Singapura atau di Diego Garcia. Apa yang berbeza hanyalah di Israel, pangkalan tentera Amerika ini dibalut dengan mitos agama.
Agama Yahudi diguna dalam jalan cerita untuk memperkuatkan dan menghalalkan penjajahan bumi Palestin.
Minggu lalu, Presiden Amerika Donald Trump melakukan lawatan rasmi ke Saudi Arabia, ke Qatar dan ke UAE. Ketika lawatan ini berjalan, Perang Gaza masih berjalan. Malah Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dan kabinetnya membuat keputusan untuk terus menyerang Gaza dan melakukan genosid.
Dua matlamat Zionis Israel yang masih belum tercapai. Pertama, membebaskan Yahudi yang kini menjadi tawanan Hamas. Dan kedua, untuk menghapuskan Hamas dan pengaruh Hamas di Gaza dan Palestin.
Ketika tulisan ini digarap, keadaan di Gaza cukup meruncing. Kebuluran sedang menghantui lebih dari dua juta warga Gaza. Bantuan makanan dan perubatan amat-amat diperlukan. Tetapi Zionis Israel masih melarang bantuan masuk.
Makanan kini menjadi senjata untuk memusnahkan seluruh Gaza. Tidak cukup dengan kebuluran, dari udara Israel terus mengebom khemah-khemah pelarian. Dari darat pula, askar Israel datang membedil apa sahaja yang bergerak di Gaza.
Imej dan gambar mayat anak-anak kecil mati bergelimpangan ini menjadikan warga Eropah marah. Beratus ribu warga Eropah dari kota London, ke Amsterdam, ke Paris, ke Madrid, ke Berlin keluar berdemo menuntut kerajaan mereka menghentikan hubungan dengan Zionis Israel.
Keganasan Zionis Israel ini tidak dapat lagi disorok atau dikaburi. Justeru, untuk pertama kalinya, kerajaan UK berani menegur dan mengkritik Israel. UK menggantung perbincangan perniagaan pasaran dua hala yang sedang berjalan. Dalam masa yang sama, kerajaan Keir Starmer juga menggesa Israel membenarkan bantuan masuk ke Gaza.
Presiden Macron dari Perancis dan Canselor Friedrich Merz dari Jerman juga bersuara dan mula berani mengkritik Zionis Israel. Ini belum pernah berlaku.
Paling jelas ialah pendirian Perdana Menteri Sepanyol Pedro Sanchez yang menyokong perjuangan adil rakyat Palestin. Suara politikus dari Sepanyol ini amat lantang menyelar Israel dan menyokong Palestin.
Malah kali ini, PM Sepanyol ini telah meminta agar Israel diterajang keluar dari ikut serta dalam Pertandingan Eurovision. Ini adalah pertandingan muzik dan lagu untuk para seniman dan penyanyi Eropah yang bermula pada tahun 1956. Hari ini, 37 negara Eropah termasuk Israel ikut sama bertanding.
Sandiwara dari Sepanyol
Pedro Sanchez dari Sepanyol tidak bersandiwara. Sokongan terhadap Palestin dari Sepanyol adalah sokongan jujur. Ini tidak sama seperti yang sedang dilakukan oleh Donald Trump.
Dua minggu selepas lawatan Trump ke Timur Tengah, akhbar arus perdana di Amerika mula membuat heboh tentang hubungan Trump dengan Netanyahu. Trump dilaporkan kurang senang dengan tindak tanduk Netanyahu.
Media arus perdana Amerika membuktikan pandangan ini kerana Trump mengadakan rundingan terus menerus dengan Hamas. Netanyahu dan Israel diketepikan.
Trump berunding dengan Hamas untuk membebaskan Edan Alexander, anak muda 21 tahun yang memiliki dua kerakyatan. Netanyahu dilaporkan enggan membebaskan tawanan kerana mahu tawanan ini untuk dijadikan sebab musabab untuk Gaza terus diserang.
Ketika Trump melawat Saudi Arabia, Qatar dan UAE – media arus perdana Amerika melihat Amerika semakin condong kepada Arab.
Netanyahu merasa terpencil dan dipinggirkan apabila Trump berjabat salam dengan Ahmad al-Sharaa, pemimpin baru Syria di Riyadh. Sosok ini dicap pengganas oleh Jabatan Pertahanan Amerika. Malah ada 10 juta dolar ‘reward’ untuk kepala Ahmad al-Shaara yang dulu memakai nama Abu Jalani.
Arab Saudi mengikat beberapa perjanjian perniagaan dengan Amerika. Nilai jual beli ini mungkin mencecah trilion dolar. Dalam masa yang sama, Qatar menghadiahkan kapal terbang bernilai 400 juta dolar kepada Trump.
Tidak cukup dengan ‘rasuah kapal terbang’, Trump juga mengadakan rundingan damai dengan Houthi dari Yaman. Trump mahu Houthi tidak menyerang kapal Amerika di Laut Merah.
Untuk menyedapkan cerita, Duta Amerika ke Israel Mike Huckabee berkata dalam temu bual Stesen 12 TV Israel:
"Amerika Syarikat tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada Israel untuk membuat beberapa jenis pengaturan yang akan menyebabkan Houthi daripada menembak kapal kami.
“Terdapat 700,000 rakyat Amerika yang tinggal di Israel."
Huckabee kemudian menyambung, "Jika Houthi mahu terus melakukan sesuatu kepada Israel dan mereka mencederakan seorang warga Amerika, maka itu menjadi urusan kami."
Semua ini dibaca dan ditafsir bahawa Trump kini lebih cenderung dan lebih rapat kepada negara Arab. Apakah ada perubahan dasar luar Amerika terhadap Timur Tengah?
Dasar ‘Israeli First’
Semua ini hanya teater dan sandiwara. Mustahil ada politikus Amerika yang berani melanggar kepentingan Israel. Trump sendiri ketika berkempen mendapat dana berjuta-juta dolar dari Yahudi Zionis yang kaya raya di Amerika.
Malah Donald Trump sendiri dikelilingi oleh sosok-sosok Zionis yang mengajukan dasar Israeli First.
Jangan sesekali kita lupa, kali pertama Trump menjadi presiden pada 6 Disember 2017, dia secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan menyatakan bahawa kedutaan Amerika akan dipindahkan dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.
Justeru, teater dan sandiwara genre apa yang sedang dipentaskan oleh Donald Trump ini? Pementasan ini juga bersangkut paut dengan satu lagi perang – Perang Ukraine.
Teater ini semuanya menuju ke arah niat dan cita-cita Trump untuk dilihat sebagai presiden damai. Presiden damai untuk apa? Sila tunggu minggu hadapan.
HISHAMUDDIN RAIS ialah aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

