Dua penjawat awam termasuk seorang bergelar Datuk yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini disyaki menerima komisen antara enam dan 11 peratus bagi setiap projek pembangunan dan senggaraan yang diluluskan sejak 2021.
Menurut sumber, dua individu terbabit dipercayai mengawal sepenuhnya proses perolehan projek di sekitar ibu negara dengan setiap syarikat yang ingin mendapatkan projek dikehendaki membayar komisen dalam lingkungan kadar tersebut.
“Difahamkan pengarah bergelar Datuk itu pernah bertugas di Selangor dan memainkan peranan meluluskan projek berkenaan sejak 2021 manakala jurutera itu pula dipercayai menjadi perantara dalam rundingan bersama pihak syarikat bagi membincangkan sebut harga,” katanya.
Sumber itu turut memaklumkan siasatan awal mendapati kegiatan tersebut turut melibatkan pasangan suami isteri bersama bapa kepada seorang daripadanya yang merupakan pemilik syarikat dan bergelar Datuk, serta seorang kontraktor.
“Mereka didakwa memonopoli pemberian projek dan membuat bayaran rasuah kepada penjawat awam berkenaan bagi memastikan kelulusan diperoleh.
“Untuk tahun ini sahaja, kurang 10 projek diluluskan oleh pengarah terbabit dengan semua mereka dipercayai mengawal projek penyenggaraan di Kuala Lumpur dan dianggap kartel projek senggaraan dengan syarikat yang ingin masuk perlu memberi komisen ditetapkan,” katanya.
Semalam, media melaporkan penahanan enam individu termasuk dua penjawat awam dengan seorang daripadanya bergelar Datuk bagi membantu siasatan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit membabitkan tawaran kerja kontrak pembangunan dan senggaraan sejak 2021 hingga kini.
Dalam Op Kepala dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM di 10 premis di sekitar Lembah Klang dan Johor pada Isnin, SPRM menyita dua Toyota Hilux dan wang tunai kira-kira RM165,000 selain membekukan 95 akaun perbankan merangkumi akaun individu dan syarikat melibatkan kira-kira RM6 juta.
Pengarah Kanan BOK SPRM Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan semua individu terbabit membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
- Bernama

