malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Merasai berat, lega Marisa lewat Anandamide
ADS

Dalam pameran solo terbarunya bertajuk Anandamide, artis Malaysia membawa satu pendekatan baru yakni gabungan bahan industri dan ekspresi perasaan.

Kali ini, dia bekerjasama dengan Rovski Sdn Bhd, syarikat tempatan yang sudah lebih 40 tahun menghasilkan bahan pelekat dan pengedap.

Kerjasama itu menghasilkan karya berskala besar yang bukan saja nampak menarik, tapi juga penuh makna dan rasa.

Pameran itu akan berlangsung di TAKSU Kuala Lumpur dari 17 Jun hingga 1 Julai, dengan majlis pembukaan berlangsung pada 12 Jun. Dan ia lebih dari sekadar pameran lukisan.

Ia adalah kisah tentang keberanian, kerjasama, dan bagaimana bahan biasa boleh menjadi luar biasa.

Marisa tidak asing dalam dunia seni Malaysia dan Anandamide bolehlah dianggap sebagai kemuncak perjalanannya itu.

Judul pameran kali ini diambil daripada nama sejenis bahan kimia semula jadi dalam badan kita – anandamide – atau dikenali juga sebagai "unsur kebahagiaan."

Tapi bagi Marisa, ia bukan sekadar istilah sains. Ia simbol kebebasan emosi dan spiritual yang datang selepas melalui proses penyembuhan yang panjang.

Lukisan Marisa penuh dengan gerak dan tekstur. Sekali imbas memang nampak abstrak, tapi kalau ditenung betul-betul, kita boleh merasai denyut emosi di sebalik setiap lapisan.

Ini bukan seni untuk hiasan semata, tapi seni yang ada cerita.

Kerjasama dengan pasukan R&D Rovski membawa seni Marisa ke tahap baru.

Ubah bukan sekadar emosi

Silikon – bahan yang biasanya digunakan untuk membaiki tingkap bocor atau dinding retak – telah diubah menjadi medium seni. Dalam tangan Marisa, bahan itu menjadi hidup.

“Kerjasama ini memperlihatkan potensi sebenar bahan kami,” kata Goh Xin Yuen, Pengarah Eksekutif Rovski. “Marisa menjadikan bahan kami lebih daripada sekadar bahan industri.”

Satu lagi aspek istimewa pameran itu ialah penglibatan Faith Foo, kaunselor dan psikoterapis trauma yang telah membantu Marisa dalam proses penyembuhan peribadi.

Foo menulis satu gambaran yang ikhlas dan menyentuh perasaan. Dia juga menjelaskan bagaimana seni boleh membantu mengubah bukan saja emosi, tapi juga otak kita secara fizikal.

Semasa Marisa mula menjalani terapi, dia dalam keadaan berjaga-jaga, sentiasa cemas.

Tapi melalui proses memahami dan menerima inner child dalam dirinya, dia juga mula membina semula rasa selamat setelah menjalani terapi berkenaan.

"Melihat dia mula mencipta dari tempat yang bebas dan bukan dari ketakutan, saya tahu dia sudah masuk ke fasa baru dalam hidupnya," kata Foo.

Boleh jadi sangat indah

Karya Marisa bukan sekadar eksperimen bahan. Dia menggunakan judul yang sedikit kerohanian sebagai suatu bentuk doa.

Bagi Marisa, pegangan agama bukan satu selingan hidup tetapi ia adalah asas kehidupan itu sendiri.

Semua proses seperti mengikis, menolak dan menyusun menjadi ritual.

Ia seakan-akan terapi yang bermula pada jari-jemari yang kemudiannya menguasai tubuh. Dan semua itu akhirnya menjadi sebuah medium untuk mengekspresi jiwa.

Jika berpeluang ke pameran Anandamide, jangan sekadar tengok. Rasa, sentuh tekstur. Perhatikan cahaya yang tembus bahan.

Ada rasa berat dan kelegaan dalam setiap garis.

Marisa sudah sampai ke satu tahap apabila dia tak lagi mencipta untuk bertahan. Dia mencipta dari tempat yang bebas.

Dan dari situ, dia mengajak kita semua untuk percaya yang penyembuhan bukan saja boleh berlaku tapi ia boleh menjadi sesuatu yang sangat indah.

Anandamide adalah kisah Marisa. Tapi mungkin, sikit sebanyak, ia juga kisah kita.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen