malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
P Pinang pertimbang ubah terowong dasar laut jadi jambatan
Diterbitkan:  May 21, 2025 7:48 PM
Dikemaskini: 11:48 AM
ADS

DUN P PINANG | Kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan perubahan reka bentuk baru bagi projek Laluan Ketiga Pulau Pinang daripada terowong dasar laut kepada jambatan merentasi selatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata kajian kebolehlaksanaan dimuktamadkan pada 2023 merangkumi kebolehlaksanaan bagi reka bentuk yang baru iaitu jambatan ataupun reka bentuk alternatif.

“Kajian pelaksanaan bagi reka bentuk alternatif ini pula akan diselesaikan dalam masa terdekat dan reka bentuk baru dijangka akan dimuktamadkan selepas kajian itu selesai.

“Penilaian Impak Lalu Lintas (TIA) dan semua penilaian yang sewajarnya akan dilaksanakan setelah reka bentuk konsep dimuktamadkan kelak,” katanya ketika menggulung ucapan perasmian Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang Ramli Ngah Talib di George Town hari ini.

Sebelumnya, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata projek Laluan Ketiga Pulau Pinang berkemungkinan akan menyaksikan perubahan dalam jajaran dan reka bentuknya.

Pada 26 Feb lalu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kajian kebolehlaksanaan projek terowong itu masih di peringkat penelitian dan kerajaan negeri sedang meneliti beberapa perkara, antaranya pembesaran pelabuhan Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) yang melibatkan jajaran projek berkenaan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 6.5 kilometer menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di tanah besar itu adalah sebahagian daripada Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Persidangan DUN bersambung esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen