Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari dilihat menambah minyak dalam api seputar pemilihan PKR.
Merujuk kenyataan yang dibuat kem Rafizi Ramli berhubung proses pemilihan peringkat cabang, Fadhli menyifatkan PKR sebagai parti yang tidak jujur.
“Dengan pemimpin sendiri pun mereka boleh tipu untuk agenda dalaman, apatah lagi dengan rakyat.
Tolak sahaja parti ini dalam PRU akan datang, mudah saja,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.
Dia mengulas laporan Malaysiakini yang memetik bekas ketua PKR Johor Bahru Akmal Nasir yang mendakwa dia “ditipu siang-siang” dalam pemilihan peringkat Cabang.
Walaupun dia tidak menghuraikan dengan lanjut kenyataannya, ia mungkin merujuk kepada dakwaan penyelewengan dalam sistem e-pengundian semasa pemilihan peringkat cabang, yang menyaksikan ketua pasukan seperti Akmal tewas dalam perebutan jawatan ketua cabang, manakala ahli pasukan yang lain menang.
Selepas audit dijalankan, PKR memutuskan untuk mengesahkan keputusan pemilihan dan meneruskan pemilihan peringkat pusat.
Namun, keputusan tersebut terus dikritik Rafizi dan pasukannya.
Pertembungan tersebut akan mencapai kemuncaknya pada Jumaat ini apabila para perwakilan PKR akan membuat pilihan mereka untuk barisan kepimpinan pusat parti itu.

