Dengan kurang 48 jam lagi sebelum pengundian untuk pemilihan majlis pimpinan pusat (MPP) PKR, timbalan presiden Rafizi Ramli menyenaraikan calon-calon pilihannya untuk jawatan-jawatan penting dalam parti.
Selain kerusi MPP, mereka yang disenaraikan itu, katanya, sejajar dengan seruan Hiruk - Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa - yang diterajuinya untuk menyandang jawatan termasuk naib presiden, jawatan sayap Pemuda (AMK) dan Wanita.
Mereka secara langsung akan mencabar puak yang diketuai pesaingnya, Naib Presiden Nurul Izzah Anwar.

“Dalam beberapa minggu ini, saya telah menerima pelbagai pandangan dan mesej daripada anggota akar umbi yang mahukan barisan kepimpinan yang teguh membawa semangat reformasi, setia dan bukan sekadar mengejar kedudukan.
“Cabaran kita hari ini adalah memilih pimpinan yang mampu kekal berpegang kepada idealisme reformasi, walaupun diuji dengan kuasa,” katanaya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurut Rafizi, PKR hari ini berdepan dengan persaingan daripada pelbagai kumpulan, tetapi masa depan parti hanya boleh dibina oleh mereka yang sudah teruji dan kekal setia pada prinsip.
“Hiruk - Hidupkan Idealisme Reformasi dalam Ujian Kuasa bukan sekadar slogan.
“Ia adalah seruan untuk mengembalikan roh perjuangan PKR, agar kita terus berpijak di atas kekuatan sendiri,” katanya.
Antara 11 calon yang bersaing untuk empat slot naib presiden parti, Rafizi menyenaraikan empat sebagai sebahagian daripada pasukannya: G Manivannan, setiausaha politik kepada presiden PKR; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad; dan Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun.
Di peringkat MPP, Rafizi menyenaraikan 25 nama daripada 88 calon untuk 20 jawatan yang akan dipilih.
Senarainya termasuk Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasir, bersama tujuh ahli Parlimen dan sekurang-kurangnya tiga Adun.

Bagi Ketua Wanita, Rafizi menamakan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail - yang juga adalah timbalan pengarah pilihan raya PKR - sebagai calon pilihannya yang akan berdepan dengan Fadhlina Sidek yang mempertahankan jawatannya.
Dalam sayap Pemuda, exco Pemuda semasa, Arshad Hassni adalah pilihan Rafizi sebagai timbalan ketua. Timbalan ketua semasa, Kamil Abdul Munim, menang tanpa bertanding jawatan ketua AMK.
“Saya pulangkan pilihan kepada perwakilan dari seluruh negara.
“Sebagai perwakilan cabang masing-masing, saudara dan saudari membawa suara akar umbi.
“Tanggungjawab ini besar untuk memastikan parti kekal di landasan reformasi dan tidak tersasar daripada perjuangan asal,” katanya lagi.

