malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Jangan hon, jangan lampu tinggi’ – amaran Perhilitan semasa di JRTB
Diterbitkan:  May 21, 2025 2:48 PM
Dikemaskini: 9:13 AM
ADS

Kenderaan kecil termasuk penunggang motosikal dinasihatkan mengelak daripada menggunakan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) pada waktu malam bagi meminimumkan kemungkinan berlaku serangan haiwan liar terutama gajah di sepanjang laluan itu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata ini kerana kawanan gajah di lokasi berkenaan akan sentiasa bergerak dan mencari makanan pada waktu tersebut.

“Kebanyakan serangan gajah dilaporkan berlaku pada lewat senja hingga awal pagi kerana tempoh tersebut adalah rutin kawanan gajah merayau mencari makan. Jadi, apabila ada pengguna yang melalui JRTB pada waktu ini, adakalanya pertembungan tak boleh dielakkan.

“Ini antara punca serangan berlaku. Kalau boleh guna laluan berkenaan pada waktu siang, iaitu ketika banyak haiwan berehat,” katanya dihubungi Bernama hari ini.

Terdahulu, seorang lelaki berdepan detik cemas apabila keretanya diserang sekumpulan gajah ketika memandu di Kilometer 11, JRTB Gerik-Jeli, dalam kejadian pada 8.15 malam tadi.

Kejadian dikatakan berpunca daripada kenderaan di belakang membunyikan hon menyebabkan tiga ekor gajah tersebut bertindak agresif.

Sementara itu, Yusoff berkata pihaknya turut meminta pengguna JRTB supaya tidak melakukan provokasi selain mematuhi tanda arahan yang dipasang sepanjang menggunakan laluan tersebut.

“Pihak kami juga minta supaya jangan bunyikan hon, jangan guna lampu tinggi, jangan keluar ambil gambar atau cuba bagi makan. Tindakan ini amat berisiko dan boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya.

“Sentiasa berwaspada dan patuhi setiap arahan papan tanda yang telah dipasang sepanjang laluan. Ini kerana JRTB merupakan laluan aktif bagi kebanyakan haiwan liar dan kebanyakannya dalam kategori pemangsa dan mampu mengancam nyawa,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen