malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
K'jaan tarik balik pengumuman pelan AI Huawei - Laporan
Diterbitkan:  May 21, 2025 10:47 AM
Dikemaskini: 2:51 AM
ADS

Malaysia dilihat menarik semula pengumuman yang menyatakan negara ini akan menjadi yang pertama menggunakan sistem kecerdasan buatan (AI) berskala besar berasaskan cip keluaran Huawei Technologies Co, sekali gus mencerminkan kedudukan sukar negara di tengah-tengah persaingan teknologi yang semakin sengit antara Amerika Syarikat dan China.

Pada awal Isnin, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mengumumkan bahawa Malaysia akan menjadi negara pertama melancarkan pelayan AI berasaskan cip Ascend GPU keluaran Huawei di peringkat nasional, dengan sebanyak 3,000 unit bakal digunakan menjelang 2026.

Teo turut memaklumkan bahawa syarikat AI China, DeepSeek akan menyediakan salah satu model AI mereka untuk kegunaan tempatan.

Namun begitu, Bloomberg News semalam melaporkan pejabat Teo menarik balik kenyataan berkenaan Huawei “tanpa penjelasan lanjut”.

Ketika ini tidak jelas sama ada inisiatif tersebut akan diteruskan seperti yang dirancang atau tidak.

Huawei dilaporkan belum memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara itu, namun wakil syarikat itu memaklumkan mereka tidak pernah menjual cip Ascend di Malaysia dan kerajaan Malaysia juga belum membuat sebarang pembelian.

M’sia ujian dasar baru AS

Sebelum keputusan itu ditarik balik, pengumuman Teo yang pertama kali dilaporkan oleh Malaysia-China Insight telah mendapat perhatian di Washington, dengan para pembuat dasar AS semakin bimbang terhadap pengaruh China dalam infrastruktur AI global.

“Seperti yang saya telah beri amaran, seluruh rantaian teknologi China kini sudah tiba,” kata David Sacks, penasihat AI dan mata wang kripto kepada Presiden AS Donald Trump, dalam hantaran di platform X sebagai respons kepada laporan mengenai kenyataan Teo.



Sacks turut mendakwa pembatalan sekatan eksport cip era Biden oleh pentadbiran Trump ke Malaysia berlaku “pada saat yang tepat”.

Penarikan semula secara tiba-tiba oleh Malaysia terhadap pelaksanaan pelayan AI Huawei juga berlaku selepas Jabatan Perdagangan AS mengubah garis panduannya, yang pada awalnya memberi amaran bahawa penggunaan cip Ascend Huawei “di mana-mana sahaja di dunia” boleh melanggar kawalan eksport AS.

Namun, AS kemudiannya dilihat melonggarkan pendirian itu dengan membuang skop amaran global tersebut, di tengah-tengah ketegangan yang masih berterusan dengan Beijing.

Menurut Bloomberg, Malaysia kini menjadi kes ujian dalam dasar diplomasi AI versi baru pentadbiran Trump yang diketuai oleh Sacks.

Pendekatan ini difahamkan bertujuan membanjiri pasaran antarabangsa dengan perkakasan AI buatan Amerika, sambil mengenakan kawalan bagi mengelakkan negara-negara di Asia Tenggara dan Timur Tengah daripada terlalu bergantung kepada teknologi China.

Bersandarkan hujah Sacks bahawa AS mesti bertindak pantas sebelum Huawei menyaingi peneraju industri AS, Nvidia Corp.

Washington turut mempergiat usaha bagi menyekat cip Nvidia berteknologi tinggi daripada sampai ke China melalui negara pihak ketiga.

Malaysia sebelum ini telah dikenal pasti sebagai kawasan yang menjadi perhatian khusus dalam perkara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang baru-baru ini menyifatkan Huawei sebagai antara pesaing paling hebat dalam teknologi global, dan berkata China kini “hanya setapak di belakang” AS dalam perlumbaan AI — justeru mendesak tindak balas segera dari Washington, memandangkan kedudukan Huawei sebagai wakil utama industri semikonduktor China.

Persaingan ini turut memuncak minggu lalu semasa lawatan berprofil tinggi Trump ke Timur Tengah, yang menyaksikan pengumuman perjanjian untuk membekalkan puluhan ribu — mungkin mencecah lebih sejuta — cip Nvidia dan AMD canggih kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.

Namun begitu, penghantaran yang dicadangkan ini — yang masih memerlukan lesen eksport — telah mencetuskan perdebatan dalaman di Washington dan menjadi perhatian rentas parti, dengan pengkritik bimbang perjanjian ini mungkin memberi kelebihan secara tidak langsung kepada China.

Ketika perjanjian Timur Tengah itu sedang dimuktamadkan oleh pegawai Trump, dasar baru bagi menggantikan pendekatan penyebaran AI era Presiden terdahulu, Joe Biden, juga dikatakan sedang dibentuk.

Dasar lama itu telah secara ketara mengetatkan peraturan eksport cip, bukan sahaja menyasarkan China, tetapi juga mengenakan sekatan terhadap negara seperti Malaysia.

Malaysia sebelum ini terkesan secara langsung di bawah dasar Biden yang memperkenalkan had nasional ke atas kapasiti pusat data yang boleh dihoskan di luar AS dan sekutunya — langkah yang menyukarkan pelan pengembangan syarikat teknologi AS.

Sebagai contoh, Oracle Corp dilaporkan merancang membangunkan kelompok pusat data berskala besar di Malaysia dan mahu mengimport cip Nvidia dalam jumlah besar — melebihi ambang yang ditetapkan dasar era Biden.

Bloomberg melaporkan dasar baru Trump akan meliputi kawalan lebih ketat ke atas eksport cip ke negara-negara yang disyaki menyalurkan teknologi AS berteknologi tinggi ke China — dengan Malaysia dijangka berada dalam senarai itu.

Pihak berkuasa AS turut menekan Malaysia untuk menangani kebimbangan berhubung pengeksportan semula secara tidak sah semikonduktor sensitif ke China.

Malaysia juga dikaitkan dengan kes undang-undang yang sedang berlangsung di Singapura, apabila tiga individu didakwa menipu kerana didakwa menyembunyikan destinasi sebenar pelayan AI yang mengandungi komponen Nvidia berprestasi tinggi.

Pegawai Malaysia dilaporkan sedang menyiasat perkara tersebut.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen